Perdana Menteri beredar dari Istana Negara selepas sejam menghadap Agong

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 4, 2021 12:03 MYT
Muhyiddin menghadap Duli Yang di-Pertuan Agong kira-kira sejam sebelum meninggalkan Istana Negara sekitar jam 11.50 pagi. -Astro AWANI
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Duli Yang di-Pertuan Agong kira-kira sejam sebelum meninggalkan Istana Negara sekitar jam 11.50 pagi.
Sebelum itu kenderaan yang membawa beliau memasuki Pintu 1 Istana Negara pada jam 10.53 pagi sambil beliau sempat melambaikan tangan kepada pihak media yang sedia menunggu sejak jam 7 pagi tadi.
Bagaimanapun tidak diketahui perincian sesi menghadap kali ini kerana telah menjadi kelaziman Perdana Menteri selaku ketua kerajaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada setiap Rabu bagi sesi Mesyuarat pra-Kabinet.
Ia tentunya menimbulkan tanda tanya apakah perkembangan terkini politik negara yang kembali memuncak sejak semalam turut dibincangkan oleh Perdana Menteri dan Baginda Al-Sultan Abdullah.
Bagaimanapun, menurut sumber, Perdana Menteri dijadualkan akan mengadakan sesi sidang media sebentar nanti dan akan disusuli oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri pada sebelah petang.
Istana Negara yang kembali menjadi perhatian selepas keabsahan kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dipertikaikan terutamanya membabitkan UMNO dan juga blok Pembangkang sejak semalam.
Ia berikutan pengumuman oleh UMNO yang mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Dalam masa sama Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menuntut agar Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.
#Perdana Menteri #Yang di-Pertuan Agong #Muhyiddin Yassin #Istana Negara #Timbalan Perdana Menteri #UMNO
;