Perdana Menteri ajak rakyat sertai World Quran Hour
Astro Awani
April 25, 2022 00:15 MYT
April 25, 2022 00:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyeru pihak masjid, surau dan individu untuk meluangkan masa selama sejam bermula 12 tengah hari Selasa, di lokasi masing-masing untuk berinteraksi dengan al-Quran sempena World Quran Hour.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berharap acara ini mampu menaikkan imej Islam dan memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada dari segi pembacaan, penghayatan dan amalan.
“Semoga usaha baik untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran seperti yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan sinerginya akan dapat diteruskan sampai bila-bila dan dirahmati oleh Allah,” kata Perdana Menteri malam ini.
World Quran Hour tahun ini bertemakan berinteraksi dengan surah al-Sajdah, mensasarkan misi dunia bersujud dan membentuk insan bersujud.
Orang ramai dijemput menyertai program ini di lokasi masing-masing selama sejam dengan al-Quran dibaca, difahami dan diamalkan.
Program yang dijadual pada Selasa bersamaan 24 Ramadan berlangsung dari jam 12 hingga 1 tengah hari akan turut bersiaran secara langsung melalui saluran Astro Oasis.
Lebih 2.63 bilion peserta telah menyertai program World Quran Hour sejak ia dimulakan pada 2015 hingga tahun lepas.