Perdana Menteri ajak orang ramai rai warisan budaya di 'Malaysia Sarong Music Run' esok

Bernama
Februari 7, 2025 21:46 MYT
Malaysia Sarong Music Run 2025 merupakan acara menyatukan masyarakat dari segenap lapisan umur untuk menggalakkan gaya hidup aktif sambil mempamerkan produk pelancongan Malaysia. - Gambar CheckPointSpot
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai bersama-sama meraikan warisan budaya Malaysia yang kaya dan unik dalam suasana penuh harmoni pada Malaysia Sarong Music Run 2025 di Menara Berkembar Petronas (KLCC) esok.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau percaya penglibatan setiap generasi serta kaum di negara ini dapat mengangkat dan mempromosi warisan budaya negara selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
"Insya-Allah, kita ketemu esok di Malaysia Sarong Music Run 2025!
"Acara ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia tetapi juga memperkukuh perpaduan, sejajar dengan penganjuran ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Malaysia Sarong Music Run 2025 merupakan acara menyatukan masyarakat dari segenap lapisan umur untuk menggalakkan gaya hidup aktif sambil mempamerkan produk pelancongan Malaysia.
Larian istimewa itu menyerlahkan kepelbagaian budaya negara menerusi laluan dengan pemandangan indah, persembahan kebudayaan, muzik tradisional dan pertunjukan masakan sekali gus meraikan warisan dan perpaduan Malaysia dalam suasana yang meriah dan terangkum.
Acara anjuran Keretapi Sarong, Locco itu menonjolkan budaya negeri-negeri di Malaysia, menampilkan persembahan seperti dikir barat dan wau bulan daripada Kelantan, kuda kepang (Johor), tarian sumazau (Sabah), tarian tradisional Melayu dari pelbagai negeri dan pameran lain yang mengangkat warisan budaya Malaysia.
Turut diketengahkan hidangan tradisional seperti rendang tok daripada Perak, pasembor (Pulau Pinang), nasi ambeng (Johor), patin tempoyak dan sambal hitam (Pahang), nasi dagang (Terengganu) dan pelbagai lagi menu tradisi yang mewakili keunikan setiap negeri.
-- BERNAMA
#Facebook #KLCC #ASEAN #pelancongan
;