Perdana Menteri, ahli Kabinet sertai Pemukiman Kerajaan Perpaduan 2024
Astro Awani
Januari 17, 2024 15:44 MYT
Januari 17, 2024 15:44 MYT
CYBERJAYA: Kesemua 31 menteri menghadiri program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa di sini selama dua hari, bermula hari ini (17 Januari).
Dalam satu kenyataan, Jabatan Perdana Menteri berkata, program itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota Kabinet, dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi Kerajaan bagi 2024.
Di samping itu, JPM berkata, program itu juga bertujuan bagi mencapai penjajaran matlamat, serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan Menteri terhadap pelan tindakan Kerajaan yang bersepadu, dan tuntas berteraskan konsep ‘whole of government’ dan ‘whole of nation’.
“Program pemukiman kali ini juga membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam serta memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan tersebut (with Focused Execution) untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.
“Program yang berlangsung selama dua hari ini membawa kepada sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri, dan organisasi antarabangsa,” kata JPM.
Kenyataan itu menyebut, perkara yang menjadi topik perbincangan antara lain ialah cabaran dan hala tuju ekonomi; kebajikan dan keselamatan sosial; pembangunan infrastruktur dan kemampanan; serta tadbir urus, inovasi dan komunikasi ke arah kemakmuran negara.