Perdagangan TBB rentas sempadan penting untuk Malaysia bangunkan sektor storan tenaga

Bernama
Ogos 25, 2023 03:36 MYT
Nik Nazmi berkata, Malaysia berminat untuk menjadi hab TBB di ASEAN. - Gambar fail/BERNAMA
BALI: Perdagangan tenaga boleh baharu (TBB) rentas sempadan merupakan rangsangan penting untuk membolehkan Malaysia membangunkan sektor storan atau penyimpanan tenaga baterinya, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
"Pada masa ini, masih sukar untuk menjadikannya cekap dari segi kos di Malaysia tetapi saya berpendapat sebaik sahaja anda membenarkan rentas sempadan, maka ia akan dapat dilaksanakan," katanya kepada media Malaysia di Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN ke-41 (AMEM-41) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2023.
Beliau berkata storan tenaga bateri adalah komponen penting dalam meningkatkan kapasiti TBB negara, sambil menambah Malaysia berminat untuk menjadi hab TBB di ASEAN.
"Kita sedar bahawa dalam grid kuasa ASEAN, Malaysia akan berada tepat di pusatnya, jadi sebab itu saya fikir kita boleh menjadi hab untuk TBB," katanya.
Pada Mei tahun ini, kerajaan memansuhkan larangan eksport tenaga boleh baharu, membenarkan perdagangan TBB dengan negara jiran sebagai sebahagian daripada semakan dasar untuk mengukuhkan sektor tenaga hijau negara.
-- BERNAMA
#tenaga boleh baharu #Nik Nazmi #ASEAN #sektor storan