Perdagangan Malaysia-Kanada meningkat 25 peratus sejak 2018
Faida Rahim
Mac 25, 2024 15:36 MYT
Mac 25, 2024 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam perdagangan dua hala dengan Kanada sejak 2018, terutama selepas Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dilaksanakan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia melibatkan jumlah eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), produk getah dan perkilangan logam ke Kanada.
"Malaysia telah mengeksport terutamanya produk Elektrik dan Elektronik (E&E), produk getah dan hasilan logam ke Kanada, sementara kita mengimport produk seperti bahan kimia dan produk kimia, bijirin dan produk E&E dari Kanada.
"Syukur, unjuran tahun ini nampak lebih baik berbanding ramalan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai pertumbuhan perdagangan barang iaitu 3.3 peratus bagi tahun 2024," katanya.
Zafrul berkata demikian ketika berucap di majlis pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kanada, Mary Ng membincangkan hal perdagangan dan pelaburan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Sementara itu, dalam sektor pelaburan, syarikat-syarikat dari Kanada seperti Celestica, Sun Life dan lain yang melabur di negara ini sejak lebih sedekad lalu telah berkembang maju.
"Sehingga hari ini, sejumlah 96 projek pembuatan dengan penyertaan Kanada telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai AS$274," katanya.
Menteri Promosi Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Mary Ng mengetuai pasukan misi perdagangan Kanada Ke Malaysia dan Vietnam dari 24-29 Mac ini sebagai sebahagian strategi Indo-Pasifik Kanada.
#Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
#elektrik dan elektronik
#perdagangan dua hala dengan Kanada
#pertumbuhan perdagangan barang