Perdagangan Februari Malaysia naik 11 peratus, eksport meningkat 9.8 peratus

Bernama
Mac 20, 2023 15:24 MYT
MITI dalam kenyataan hari ini berkata import pada bulan yang sama bertambah 12.4 peratus kepada RM92.71 bilion. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Data perdagangan Malaysia pada Februari mengekalkan trajektori peningkatan dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 11 peratus kepada RM204.99 bilion, manakala eksport berkembang 9.8 peratus kepada RM112.28 bilion.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata import pada bulan yang sama bertambah 12.4 peratus kepada RM92.71 bilion.
"Lebihan dagangan adalah ke-34 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020 yang bernilai RM19.56 bilion.
Sementara itu, eksport ke pasaran utama khasnya Asean dan Amerika Syarikat merekodkan pertumbuhan dua digit.
MITI berkata berbanding Januari 2023, lebihan dagangan berkembang 7.9 peratus manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 1.1 peratus, 0.3 peratus dan 1.9 peratus berikutan bilangan hari berkerja yang singkat.
Bagi Januari hingga Februari 2023, perdagangan berkembang 6.1 peratus kepada RM412.17 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022, manakala eksport meningkat 5.4 peratus kepada RM224.93 bilion dan import naik tujuh peratus kepada RM187.24 bilion.
Menurut MITI, lebihan dagangan menyusut secara marginal sebanyak 1.8 peratus kepada RM37.69 bilion manakala perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai yang tertinggi bagi tempoh ini.
Eksport utama
Keluaran petroleum pula bernilai RM12.26 bilion dan menyumbang 10.9 peratus daripada jumlah eksport, melonjak 67.5 peratus; kimia dan bahan kimia (RM6.16 bilion, 5.5 peratus daripada jumlah eksport, berkurangan 7.2 peratus), LNG (RM5.42 bilion, 4.8 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 32.9 peratus); dan minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (RM5.38 bilion, 4.8 peratus daripada jumlah eksport, merosot 13.8 peratus).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing pulih sebanyak 0.6 peratus dan 2.1 peratus, manakala eksport hasil galian menyusut 10.1 peratus.
Asean Teraju Destinasi Eksport
Pada Februari 2023, perdagangan dengan Asean yang merangkumi 27.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 10 peratus tahun ke tahun kepada RM56.14 bilion.
Import dari Asean berkembang 3.5 peratus kepada RM22.45 bilion.
Menurut MITI, berbanding Januari 2023, perdagangan dan import masing-masing berkembang sebanyak 1.6 peratus dan 6.1 peratus, manakala eksport menurun sebanyak 1.2 peratus.
Import dari Asean bertambah 0.8 peratus kepada RM43.61 bilion.
Prestasi Import
Jumlah import pada Februari 2023 berkembang 12.4 peratus tahun ke tahun kepada RM92.71 bilion.
Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 68.9 peratus daripada jumlah keseluruhan import adalah barangan pengantara yang bernilai RM48.98 bilion atau 52.8 peratus daripada jumlah import, meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun berikutan peningkatan import minyak dan pelincir utama.
Kategori kedua adalah barangan modal bernilai RM7.89 bilion atau 8.5 peratus daripada jumlah import, turun 0.3 peratus disebabkan oleh penyusutan import barangan modal kecuali kelengkapan pengangkutan.
Kategori ketiga adalah barangan penggunaan bernilai RM7.06 bilion atau 7.6 peratus daripada jumlah import, berkembang 1.2 peratus hasil peningkatan import makanan dan minuman utama khusus untuk penggunaan isi rumah.
Bagi tempoh Januari hingga Februari 2023, import barangan pengantara menyusut 0.5 peratus kepada RM97.42 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, barangan modal (-1.2 peratus kepada RM17.57 bilion) dan barangan penggunaan (-2.1 peratus kepada RM15.3 bilion).
-- BERNAMA
#MITI #Data perdagangan Malaysia pada Februari #pertumbuhan dua digit tahun ke tahun #Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
;