Perdagangan borong, runcit Malaysia cecah RM148.9 bilion pada Januari 2025
Nina Rozman
Mac 12, 2025 12:15 MYT
Mac 12, 2025 12:15 MYT
Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatat jualan RM148.9 bilion pada Januari 2025, meningkat 4.6% tahun ke tahun. -Astro AWANI
PUTRAJAYA: Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia memulakan tahun baharu dengan mencatat jualan sebanyak RM148.9 bilion pada Januari 2025, meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun.
Ringkasan AI
- Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatat jualan RM148.9 bilion pada Januari 2025, meningkat 4.6% tahun ke tahun.
- Pertumbuhan dipacu oleh subsektor perdagangan runcit dan borong, manakala subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan.
- Sambutan Tahun Baru Cina dan musim cuti sekolah meningkatkan perbelanjaan pengguna, terutama dalam segmen kedai pengkhususan dan bukan pengkhususan.
Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong menjadi pemacu utama pertumbuhan, manakala subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, perdagangan runcit mencatatkan jualan sebanyak RM66.1 bilion, meningkat 8.2 peratus atau RM5.0 bilion berbanding tahun lalu.
“Lonjakan dalam aktiviti jualan runcit ini sebahagian besarnya didorong oleh sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan musim cuti sekolah.
“Faktor ini telah meningkatkan perbelanjaan pengguna, terutama dalam segmen kedai pengkhususan dan bukan pengkhususan,” jelas beliau.
Pertumbuhan ini sebahagian besarnya disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat 9.7 peratus kepada RM25.5 bilion.
Manakala, jualan runcit di kedai pengkhususan naik 8.3 peratus kepada RM14.0 bilion.
Jualan runcit bahan api kenderaan meningkat 7.8 peratus kepada RM6.0 bilion, mencerminkan aktiviti perjalanan yang lebih tinggi.
Selain faktor perayaan, Malaysia turut menjadi tuan rumah bagi sambutan Tahun Baru Cina yang pertama kali diadakan di luar China, yang menarik lebih ramai pelancong dan memberi impak positif kepada sektor runcit.
Subsektor perdagangan borong mencatatkan jualan RM66.8 bilion, meningkat 4.9 peratus atau RM3.1 bilion.
“Perdagangan borong terus menunjukkan daya tahan, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap barangan isi rumah, pakaian, dan produk farmasi.
“Ini menunjukkan kestabilan dalam pola perbelanjaan pengguna,” kata Mohd Uzir.
Antara pemacu utama pertumbuhan ini adalah jualan borong barangan isi rumah meningkat 5.3 peratus kepada RM13.9 bilion.
Jualan borong makanan, minuman dan tembakau naik 5.0 peratus kepada RM13.9 bilion, dipacu oleh peningkatan penggunaan sempena musim perayaan.
Lain-lain pengkhususan jualan borong meningkat 2.6 peratus, menunjukkan kestabilan dalam sektor ini.
Kenderaan bermotor merosot -9.1 peratus, dipengaruhi pembelian awal pada Disember.
Sebaliknya, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan ketara sebanyak -9.1 peratus, dengan jualan RM16.0 bilion, berkurang RM1.6 bilion berbanding Januari 2024.
Data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan penurunan dalam jumlah jualan kenderaan.
Sejumlah 48,732 unit kenderaan terjual pada Januari 2025, jauh lebih rendah berbanding 66,923 unit pada tahun lalu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan 53,930 pendaftaran kenderaan, juga lebih rendah berbanding 70,186 pendaftaran tahun sebelumnya.
“Penurunan ini sebahagiannya disebabkan oleh lonjakan pembelian pada Disember 2024, apabila pengguna mengambil kesempatan ke atas promosi hujung tahun.
"Walaupun demikian, segmen komponen dan penyelenggaraan kenderaan masih mencatatkan pertumbuhan positif," tambah beliau.
Meskipun jualan kenderaan merosot, jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus, sementara penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor meningkat 5.1 peratus.
Jualan runcit melalui internet terus mencatatkan prestasi cemerlang, dengan indeks jualan meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun.
Selepas pelarasan musim, indeks jualan runcit dalam talian meningkat 7.0 peratus bulan ke bulan, mencerminkan trend positif dalam sektor e-dagang.
Dari segi indeks volum, sektor perdagangan borong dan runcit meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun.
Selepas pelarasan musim, indeks volum mencatatkan peningkatan bulanan 0.4% berbanding Disember 2024.
Walaupun sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding bulan sebelumnya akibat penurunan dalam segmen kenderaan bermotor, prospek sektor ini masih positif.
Penggunaan domestik yang stabil, ditambah dengan aktiviti pelancongan yang terus meningkat, dijangka menyokong momentum pertumbuhan sepanjang 2025.