Perdagangan borong, runcit catat jualan bulanan tertinggi RM143.9 bilion

Bernama
Februari 8, 2024 14:45 MYT
Nilai jualan perdagangan borong dan runcit bagi suku keempat (S4) 2023 mencatatkan sejumlah RM428.8 bilion. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan tuncit Malaysia merekodkan nilai jualan sebanyak RM143.9 bilion pada Disember 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
DoSM melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan nilai jualan perdagangan borong dan runcit bagi suku keempat (S4) 2023 mencatatkan sejumlah RM428.8 bilion, menjadikan keseluruhan jualan sepanjang tahun kepada RM1.7 trilion.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin memberitahu peningkatan sebanyak 4.8 peratus dari tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Disember 2023 telah dipacu oleh subsektor perdagangan runcit, yang menokok 5.0 peratus atau RM3.0 bilion kepada RM62.4 bilion.
"Perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 4.4 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM62.9 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 5.9 peratus atau RM1.0 bilion untuk berada pada RM18.6 bilion," katanya.
Mohd Uzir berkata kenaikan 5.8 peratus pada S4 2023 bagi perdagangan borong dan runcit telah disokong oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat RM9.8 bilion atau 5.4 peratus kepada RM189.4 bilion.
Selain itu, jualan borong dan runcit menutup 2023 dengan pengembangan 7.7 peratus, dirangsang oleh perdagangan runcit yang mengukuh sebanyak RM59.7 bilion atau 9.0 peratus kepada RM720.8 bilion.
Dalam satu kenyataan berasingan, DoSM berkata indeks volum Malaysia untuk perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus dari tahun ke tahun pada S4 2023 bagi mencapai 153.1 mata, menjadikan prestasi keseluruhan untuk 2023 kepada 5.6 peratus.
Beliau menambah peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 9.8 peratus, diikuti perdagangan borong serta runcit, yang masing-masing bertambah baik sebanyak 4.6 peratus dan 2.9 peratus.
"Untuk perbandingan dari suku ke suku, indeks volum melonjak 0.8 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor yang meningkat 3.7 peratus," tambahnya lagi.
-- BERNAMA
#DoSM #perdagangan borong dan runcit #ekonomi malaysia #2024
;