PERDA giat persiap usahawan kuasai teknologi digital, media sosial
Bernama
November 28, 2024 05:15 MYT
November 28, 2024 05:15 MYT
KEPALA BATAS: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) giat mempersiapkan usahawan di bawah bimbingan mereka untuk melengkapkan diri dengan penggunaan teknologi selaras perkembangan dunia digital.
Pengerusinya Datuk Shaik Hussein Mydin berkata ia penting bagi membolehkan usahawan mengadaptasi perubahan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang membantu memudahkan urusan dan boleh dimanfaatkan dalam perniagaan, sekali gus mewujudkan usahawan berdaya maju.
"Kita melihat AI sebagai masa depan, dan perkembangan teknologi ini membolehkan usahawan berniaga secara dalam talian tanpa perlu memiliki pejabat atau kilang, tetapi boleh menjana pulangan besar sama seperti mereka yang ada semua kelengkapan itu.
"Sebab itu kita mahu melatih usahawan dari sekarang agar mereka bersedia dengan perubahan yang bakal berlaku dalam empat atau lima tahun akan datang. Kita yakin dengan adanya semua teknologi ini usahawan di Pulau Pinang akan lebih berdaya maju," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Program Himpunan Keusahawanan PERDA 2024 (HIKE PERDA) di Bertam Resort di sini pada Khamis, yang turut dihadiri Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum.
Lebih 200 usahawan menyertai himpunan, yang bertujuan antara lain bagi memantapkan jati diri melalui seminar dan ceramah di samping mendapatkan pangkalan data serta input terkini berkaitan perkembangan perniagaan yang diusahakan.
Shaik Hussein berkata TikTok umpamanya dilihat antara platform media sosial paling popular ketika ini yang boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan produk perniagaan dan perkhidmatan, kerana ia bukan sahaja mudah tetapi turut mempunyai pasaran yang luas.
Beliau berkata PERDA mengambil inisiatif dengan melancarkan program baharu yang akan dimulakan pada Januari 2025 iaitu PERDA TikTok Star (PTS) dalam membantu usahawan memasarkan perniagaan mereka secara kreatif dan berkesan.
Menerusi program itu usahawan akan diberi peluang untuk mempromosikan perniagaan mereka di TikTok PERDA, selain turut diberi peluang mencipta kandungan sendiri.
"Program ini akan berjalan sepanjang tahun, dan pada hujung tahun nanti kita akan bagi anugerah kepada usahawan yang dapat paling banyak tontonan, paling banyak keuntungan dan sebagainya. Perinciannya kita akan maklumkan Januari nanti," katanya.
Selain itu, Shaik Hussein memberitahu PERDA turut menyediakan latihan dan kursus secara percuma kepada usahawan untuk menggunakan teknologi terkini bagi mempromosikan perniagaan.
Beliau berkata 1,247 usahawan telah mendapat manfaat melalui inisiatif PERDA pada tahun ini, dan ia dijangka meningkat tahun hadapan menerusi pelaksanaan program PERDA TikTok Star 2025.
-- BERNAMA