Percutian impian musnah ditipu sindiket pelancongan

Isabelle Leong
September 9, 2018 07:28 MYT
Jika anda rasa sesuatu itu terlalu baik untuk dipercayai, berhati-hatilah, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Ia mungkin suatu perangkap oleh sindiket dalam mencari mangsa. - Gambar hiasan
Puluhan ribu ringgit telah dibelanjakan demi satu destinasi percutian impian. Namun, akibat ada pihak yang tidak bertanggungjawab, yang tinggal hanya angan-angan.
Itulah hakikat yang menimpa mangsa penipuan syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian pada harga murah ke luar negara, antaranya seperti di Eropah Tengah.
Astro AWANI sempat bertemu dua mangsa yang kehilangan wang akibat diperdaya sindiket ini.
Menurut seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Cik Y, apabila mendapat tahu tentang pakej murah tersebut, dia merasakan ia terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.
Ternyata, firasatnya betul.
Tetapi, apabila pesara berumur 71 tahun itu membayar deposit untuk pakej percutian pada September, semuanya sudah terlambat.
“Kami ke pejabatnya tetapi ia ditutup! Tiada papan tanda dan apabila kami menekan loceng, tiada sesiapa yang menjawab. Kami cuba tunggu untuk melihat kalau ada sesiapa yang datang, tetapi tiada sesiapa.
“Kami bergegas ke pejabat pengurusan untuk bertanya apa yang berlaku kepada pemilik syarikat. Mereka memberitahu kami, mereka telah menelefon pemiliknya kerana pihak itu telah tidak membayar sewa selama dua bulan.
“Wang simpanan yang saya telah simpan sekian lama, hilang begitu sahaja,” keluhnya.
Mangsa kedua yang ditemui, Encik K, 36 tahun, sudah lama memasang impian untuk membawa keluarganya melancong ke Eropah Tengah.
Apatah lagi, ibu bapanya belum pernah menjejakkan kaki ke benua tersebut. Tentunya ia sesuatu yang mengujakan.
Encik K telah menyemak latar belakang syarikat tersebut sebelum membuat bayaran.
“Isteri dan saya mendapat tahu tentang pakej percutian itu daripada risalah. Disebabkan ia mempunyai diskaun, ia amat menarik.
“Saya telah membuat siasatan ke atas syarikat ini dan membuat panggilan ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk menyemak kesahihan agensi tersebut.
“Saya mendapat tahu bahawa mereka sudah berurusan dengan agensi pelancongan ini selama lima tahun dan memang tiada apa-apa masalah dengannya,” katanya.
Bagaimanapun, selepas membayar deposit dan bayaran penuh sebanyak RM23,200 kepada agensi pelancongan tersebut, syarikat tersebut seolah-olah 'hilang'.
“Saya buat bayaran secara ansuran. Setiap kali saya bayar, saya membuat panggilan kepada kementerian dahulu untuk pastikan syarikat ini tiada sebarang masalah sebab saya masih ada keraguan.
“Saya membuat bayaran pertama dahulu, RM1,500 sahaja untuk deposit. Pada 12 April, saya bayar lagi RM10,100. Seterusnya untuk bayaran terakhir, saya bayar pada bulan Mei.
"Mereka ada syarat mengatakan bahawa jika kami buat bayaran sebelum 31 Mei, kami akan dapat diskaun RM700. Tidak banyak sebenarnya, tetapi apabila saya bayar untuk empat orang, tawaran itu memang menarik,” jelasnya yang telah menggunakan wang simpanannya untuk rancangan percutian itu.
Kedua-dua mangsa ini merupakan antara 136 mangsa lain di seluruh negara yang membuat laporan berkaitan penipuan pakej pelancongan yang melibatkan kerugian lebih RM2.2 juta sejak awal Mac lalu.
Jika anda rasa sesuatu itu terlalu baik untuk dipercayai, berwaspadalah, mungkin ada sesuatu yang tidak kena.
Ia mungkin suatu perangkap yang digunakan sindiket bagi mencari mangsa.
Oleh itu, berhati-hati sebelum terkena. Jangan sudah terhantuk baru terngadah.
#impian #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia #mangsa #MATTA #MOTAC #murah #pakej #percutian #Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia #ranap #sindiket
;