Percutian domestik kekal jadi pilihan pelancong tempatan
Bernama
Disember 27, 2023 12:10 MYT
Disember 27, 2023 12:10 MYT
JOHOR BAHRU: Percutian domestik masih menjadi pilihan pelancong tempatan bagi menghabiskan cuti sekolah, dengan tempat pelancongan popular kekal sebagai destinasi tumpuan.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi pelancongan sama ada kawasan bersejarah, zoo, taman tema, muzium serta pusat beli-belah mendapati destinasi berkenaan terus menjadi pilihan masyarakat menghabiskan masa cuti panjang bersama keluarga.
Pengunjung dari Kuala Lumpur, Nazathul Nadeea Amyza Mohd Shuhaimi, 20, yang memilih Johor sebagai destinasi percutian berkata dia dan keluarga memilih bercuti dalam negara sahaja tahun ini memandangkan banyak lokasi tempatan yang belum dikunjungi.
"Antara lokasi yang telah saya kunjungi pada percutian kali ini ialah pusat beli-belah Johor Premium Outlets (JPO), taman tema Legoland Malaysia Resort, Stadium Sultan Ibrahim, Puteri Harbour, pekarangan Istana Bukit Serene dan Danga Bay.
"Di Jalan Dhoby ini pula terdapat banyak kafe hipster yang tular seperti restoran Hua Mui, Kopi Loco, Salahuddin Bakery dan Hiap Joo Bakery, malah banyak juga hidangan unik di Johor yang sukar ditemui di Kuala Lumpur seperti kacang pool dan lontong kering," katanya.
Pelajar kolej itu berkata dia dan keluarga juga sempat berkunjung ke Festival Kraf Johor 2023 di Angsana Johor Bahru Mall di sini yang menghimpunkan pelbagai produk kraf dari seluruh Malaysia.
Bagi jurutera, Mohd Qayyum Ashraf Mohd Shukor, 33, pula dia dan keluarga memilih untuk menghabiskan cuti di kampung halaman sendiri di Johor Bahru kerana masih terdapat banyak lokasi dan kedai menarik yang belum dikunjungi.
"Musim cuti akhir tahun ini saya pilih untuk berjalan-jalan di daerah ini sambil menyokong produk dan usahawan tempatan sekali gus menjimatkan duit penginapan hotel serta pengangkutan," katanya yang berasal dari Damansara Aliff di sini.
Dalam pada itu, Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim ketika dihubungi berkata Johor Bahru memang menjadi antara bandar raya pilihan pelancong antarabangsa dan domestik selain Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang.
Sementara itu di Perak, tempat pelancongan seperti Muzium Perak dan Zoo Taiping menjadi tumpuan ibu bapa dan anak-anak memanfaatkan masa yang ada bersama keluarga sempena cuti sekolah.
Muzium Perak, yang kini sedang mengadakan Pameran Zoologi: Seni Taksidermi sememangnya menjadi lokasi wajib kunjung setiap kali tibanya cuti sekolah sama ada oleh pengunjung tempatan mahupun dari luar negeri ini.
Kerani dari Batu Kurau, Hazilawati Ramli, 29, berkata dia mengambil peluang bercuti dengan membawa anak saudaranya yang datang dari Sungai Petani, Kedah melawat muzium berkenaan.
"Hari ini saya bawa mereka melawat Muzium Perak kerana aktiviti ini sesuai untuk seisi keluarga khususnya kanak-kanak, apatah lagi untuk tempoh enam bulan ini ada pameran bersejarah berkaitan spesies binatang dan hidupan yang terdapat di Malaysia," katanya ketika ditemui di sini.
S. Shanti, 36, yang bekerja sebagai guru pula berkata musim cuti sekolah adalah masa paling sesuai untuk membawa anak-anak berjalan-jalan dan melakukan aktiviti berfaedah.
"Anak-anak saya teruja dan seronok berkunjung ke Muzium Perak kerana berpeluang melihat pameran yang ada sekali gus dapat menambah ilmu pengetahuan. Kami bawa mereka ke sini pada hari bekerja kerana tidak mahu bersesak, tambahan pula kes COVID-19 meningkat sekarang," katanya.
Dalam pada itu, juruteknik, Ahmad Faizal Bakaruddin, 41, berkata walaupun cuti sekolah hanya akan berakhir pada hujung minggu ini, dia masih tidak berpulang untuk balik kampung di Pulau Pinang.
"Isteri saya bekerja dan tak dapat ambil cuti panjang, jadi saya cuma dapat bawa dua anak saya bersiar-siar di sekitar Taiping. Seharian kami di sini dipenuhi dengan aktiviti berfaedah kerana selepas Muzium Perak, kami ke Zoo Taiping pula," katanya.
-- BERNAMA