Percubaan seludup 288kg sisik tenggiling bernilai RM3.69 juta digagalkan

Astro Awani
Jun 13, 2017 13:44 MYT
Datuk Paddy Abd. Halim (dua dari kiri) menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas. - Astro AWANI/Shahir Omar
Satu lagi sindiket penyeludupan sisik tenggiling tumpas apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila merampas 288 kilogram sisik haiwan itu yang mencecah nilai RM3.69 juta.
Rampasan dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Paddy Abd. Halim berkata, bertindak atas maklumat, JKDM KLIA menjalankan pemeriksaan di gudang kargo udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
"Kotak yang ditahan tersebut, tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Ghana ke KLIA sebagai destinasi akhir dituju," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Hasil pemeriksaan, pihaknya telah menahan 12 kotak yang disyaki membawa barang larangan import.
Siasatan awal mendapati sisik tenggiling yang dirampas itu dicatatkan sebagai cengkerang tiram dalam surat muatan udara dan alamat penerima adalah palsu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda minimum 10 kali nilai atau maksimum 20 kali ganda daripada nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun ataupun kedua-duanya sekali.
#JKDM #kastam #KLIA #seludup #sindiket #sisik #tenggiling
;