AS percepatkan pemindahan dana 1MDB - Duta

Harits Asyraf Hasnan
April 15, 2020 14:42 MYT
Kerajaan Amerika Syarikat kini sedang berusaha keras untuk memastikan pemindahan dana 1MDB dipercepatkan, kata Kamala Shirin Lakhdhir. - Foto BERNAMA
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) kini sedang berusaha keras untuk memastikan pemindahan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipercepatkan.
Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berkata, dalam masa yang mencabar ekoran penularan wabak COVID-19, pihaknya amat gembira untuk meneruskan pemindahan aset ke Malaysia.
“Kami sekali lagi sangat gembira untuk meneruskan pemindahan aset ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siasatan Jabatan Kehakiman.
“Walaupun dunia menghadapi pandemik COVID-19, kerajaan AS berusaha keras untuk memastikan pemindahan ini dipercepatkan dalam masa yang mencabar ini.
“Selama lebih 60 tahun, AS menjadi rakan kongsi rapat dan rakan kepada Malaysia dan kerjasama kami untuk menegakkan tadbir urus yang baik, memerangi rasuah dalam kerajaan dan memastikan keadilan dilaksanakan,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa sebanyak AS$300 juta atau RM1.3 bilion (AS$1 = RM4.32) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu merupakan dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
BACA: Amerika Syarikat pulangkan US$300 juta dana 1MDB kepada Malaysia - PM
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Amerika Syarikat #AS #aset 1MDB #COVID19 #Kamala Shirin Lakhdhir #koronavirus #Muhyiddin Yassin #siasatan
;