Percayalah pada Malaysia: Presiden MCA bawa dwi-watak dalam mesej Hari Kebangsaan
Isabelle Leong
Ogos 30, 2017 20:21 MYT
Ogos 30, 2017 20:21 MYT
DI suatu pelosok dapur rumah, seorang lelaki kelihatan sedang menuangkan air mendidih ke dalam dua cawan yang berisi serbuk kopi.
“Dalam tempoh sepuluh tahun ini, semua menghadapi kesusahan. Saya tahu usaha kami tidak mencukupi, menyebabkan kamu risau akan masa depan kamu.”
Begitulah permulaan video pendek yang berjudul “Citizens”.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan negara kita yang ke-60, pengarah terkenal, Pete Teo dan Liew Seng Tat buat pertama kali bekerjasama untuk menghasilkan video berdurasi enam minit ini.
Video ini turut menampilkan Presiden MCA yang juga merupakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, di mana beliau memegang dua watak.
Satu watak sebagai seorang ahli politik negara yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap masa depan negara dan juga sebagai rakyat biasa yang serik dan kurang berpuas hati dengan keadaan semasa negara.
Dalam video tersebut, ahli politik itu cuba berbual dengan watak rakyat biasa itu dengan nada yang tenang.
“Saya datang sini untuk meminta anda supaya tidak berputus asa dengan negara kita.”
Baik budi ahli politik dibalas dengan kata-kata yang kurang sopan dan rungutan tentang ketidakpuasan hati terhadap negara ini oleh rakyat biasa tersebut.
“Adakah ini benar-benar negara kita?
“Kamu orang politik hanya tahu cakap sahaja! Berambuslah kau!”
Adegan ini mencerminkan hubungan Parti MCA dengan masyarakat Cina, tetapi mesej yang jelas telah diketengahkan dalam video ini iaitu meletakkan negara sebagai keutamaan.
“Saya tidak mengatakan kami tidak pernah membuat kesalahan. Banyak perkara yang boleh dilakukan dengan lebih baik. Mentadbir negara bukan merupakan perkara yang senang. Titik permulaan penyelesaian mana-mana masalah adalah tidak berputus harapan, sama sekali.”
Watak Ahli politik Liow turut ditampilkan bermonolog tentang mimpi Malaysia yang makin memudar tetapi menggesa rakyat supaya mengatasi situasi ini dengan ketekunan, tekad dan tidak hilang harapan terhadap negara ini.
Manakala watak rakyat Liow yang masih kelihatan marah, akhirnya menyesal, dan mengibarkan Jalur Gemilang di beranda rumahnya.
Bak kata orang-orang tua, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Tidak kira perbezaan kaum, bangsa dan budaya, wawasan pengasas negara ini dan impian untuk mewujudkan Malaysia yang ideal masih boleh dicapai.
Semuanya boleh tercapai jika masyarakat tidak berputus asa dan terus mendukung impian ini.
Jangan biarkan nasihat dan mesej yang disampaikan dalam video ini tersia-sia bagai mencurahkan air ke daun keladi.
“Percayalah pada Malaysia.”
#citizen
#hari kemerdekaan
#Jalur Gemilang
#Liew Seng Tat
#Liow Tiong Lai
#Muafakat
#Pete Teo
#video