Percaya atau tidak, Harimau Malaya kini hanya tinggal 200 ekor sahaja

Ain Najhan
Mac 28, 2019 12:14 MYT
Harimau Malaya akan pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tiada sebarang tindakan diambil. - Gambar hiasan
PERCAYA atau tidak, sekitar tahun 1950-an, jumlah Harimau Malaya di negara ini pernah mencapai angka 3,000 ekor.
Bagaimanapun, selang enam dekad, Harimau Malaya sedang mengalami kepupusan apabila jumlah karnivor itu kini hanya tinggal 200 ekor sahaja.
Apa yang dibimbangkan, kata Menteri Air, Tanah & Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar, sekiranya kerajaan
tidak mengambil apa-apa tindakan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, spesies ini akan hilang dari hutan .
“Dan dalam tempoh ini kita sudah kehilangan 14 ekor harimau dan ia menjadi isu besar buat negara kita,” jelas beliau dalam temubual bersama Agenda AWANI baru-baru ini.
Kebimbangan terhadap kepupusan Harimau Malaya ada asasnya kerana spesies ini hanya ada di Malaysia.
Dalam masa sama, dapatkah kita membayangkan sekiranya satu-satunya haiwan kebanggaan tanah air yang menjadi simbol kebangsaan di Jata Negara ini pupus buat selamanya?
Kehilangan Harimau Malaya seumpama kita akan hilang taringnya apabila ‘raja rimba’ ini lenyap dek kerana perbuatan manusia sendiri.
Sebagai langkah penyelesaian, sebuah inisiatif kerajaan iaitu Kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dianjurkan bagi melindungi haiwan ini.
“Bagi menjayakan kempen ini saya harapkan kerjasama daripada semua pihak untuk kita lakukan ini.
“Selama dua tahun, ini yang kita akan bawa melalui adakan kempen kesedaran kepada seluruh Malaysia,” ujar Xavier.
Beliau menjelaskan kesedaran ini perlu dari segenap lapisan umur sejak di bangku sekolah mahupun
di peringkat universiti.
Sebarang maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang http://harimau.my/index.html atau media sosial Jabatan Perhilitan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
#Harimau Malaysia #jata negara #Kempen Selamatkan Harimau Malaya #SaveBelangTogether #Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali #Xavier Jayakumar
;