Perbuatan menakutkan ummah secara keterlaluan amat merugikan - Sultan Nazrin

Astro Awani
November 7, 2019 13:22 MYT
Sultan Nazrin bertitah umat Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu negara, merangka formula, memperkenalkan program Islam yang berkesan dan menyemai kembali pegangan tauhid dan keimanan - Gambar fail
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi, namun kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata.
Titah baginda, survival umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan dengan kaedah menakut-nakutkan, sehingga ummah mempunyai prejudis dan merasakan diri sebagai makhluk asing apabila berada dalam situasi yang dikelilingi bukan Islam.
"Perbuatan menakut-nakutkan ummah samalah seperti budaya menakut-nakutkan anak-anak Melayu di kampung pada era pra dan pascamerdeka dengan cerita-cerita puntianak dan hantu kubur, hingga anak-anak tersebut dibunuh keberanian mereka, lalu menjadi pengecut dan penakut.
"Perbuatan menakut-nakutkan ummah secara keterlaluan, teramat merugikan, kerana ummah akan hilang keyakinan, dan ummah akan gentar untuk bersaing di dunia yang lebih besar, apabila berada di luar kepompong kumpulan sendiri," titah baginda dalam Titah Diraja sempena sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), di sini, pada Khamis.
Bernama melaporkan Sultan Nazrin bertitah negara Islam dibangunkan oleh ummahnya melalui sifat dan tingkah laku dan bukan menerusi penjenamaan nama negara.
Titah baginda, negara dan organisasi tidak dapat mendakwa diri masing-masing sebagai Islam jika warga dan ahlinya tidak mengamalkan sifat-sifat seorang Muslim yang sejati.
"Setiap organisasi Islam dan setiap seorang umat Islam memiliki tanggungjawab fardu kifayah untuk meletakkan negara ini berada pada landasan yang betul, agar menjadi sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Ilahi," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah umat Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu negara, merangka formula, memperkenalkan program Islam yang berkesan dan menyemai kembali pegangan tauhid dan keimanan yang kukuh dalam kalangan ummah agar nilai-nilai murni, jujur, amanah dan ikhlas menjadi darah daging setiap umat Islam.
Baginda bertitah umat Islam mempunyai cabaran berat untuk mentransformasikan minda dan jiwa agar ia merdeka dan meletakkan sepenuh pengabdian kepada Allah SWT serta tidak akan bersekongkol, sebaliknya berani menentang kemungkaran.
Titah baginda setiap keluarga Islam wajib sedar bahawa Islam yang diwarisi melalui kelahiran itu perlu diperlengkap dengan pengisian.
Sultan Nazrin bertitah keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa yang diuar-uarkan, atau apa yang dimegahkan, dengan menceritakan kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam, yang sudah pun menjadi sejarah.
"Tidak siapa yang akan mempedulikan apa yang diuar-uarkan, jika yang diuar-uarkan sangat bercanggah dengan sifat dan watak yang menjadi bukti hidup yang sedang disaksikan oleh dunia pada hari ini," titah baginda.
Titah Sultan Nazrin, umat Islam yang cintakan agama dan memahami ajaran Islam yang sebenar juga tidak harus berpeluk tubuh, memilih menjadi penonton dan majoriti yang membisu dengan merelakan Islam dirampas oleh kumpulan yang memanipulasikan Islam untuk tujuan sempit.
"Agama terbukti memiliki satu tenaga kekuatan dan daya tarikan luar biasa untuk boleh menggerakkan orang ramai.
"Oleh itu, agama terdedah untuk dijadikan instrumen bagi mencapai cita-cita sempit individu atau kumpulan, jika orang ramai dapat diyakinkan dan jika orang ramai tanpa terlebih dahulu memeriksa fakta dan kesahihan, dan tanpa berfikir, menerima slogan atau retorik agama yang dilaungkan," titah baginda.
#Islam #legasi #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #survival #titah diraja #Ummah
;