Perbincangan Myanmar: Kementerian Luar Malaysia sahkan tidak hadir

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 18, 2023 10:00 MYT
Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan tidak akan menghantar wakil bagi menghadiri perbincangan tidak rasmi hari ini untuk 'libat urus semula' dengan Myanmar, seperti dicadangkan kerajaan sementara Thailand.
Dalam reaksi balasnya, Wisma Putra menjelaskan, Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir mempunyai komitmen lain yang perlu dikendalikan.
Bagaimanapun, kementerian tersebut menegaskan mengenai keputusan yang dicapai pada Persidangan ASEAN ke-42 di Labuan Bajo baru-baru ini.
Ia mengulangi bahawa, Konsensus 5 Perkara (5PC) akan tetap menjadi pegangan dan mandat ASEAN dalam menangani isu Myanmar.
"Dalam konteks ini, Malaysia tetap menyokong usaha yang dilakukan oleh Pengerusi ASEAN, terutamanya Pejabat Duta Khas.
"Adalah penting bagi ASEAN untuk menunjukkan kesatuan dalam menyokong Pengerusi ASEAN dan proses ASEAN yang sejajar dengan mandat dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin ASEAN," jelasnya.
BACA: Tiada tanda wakil ASEAN hadir perbincangan dengan Myanmar seperti dicadangkan kerajaan sementara Thailand
Sejak junta menggulingkan kerajaan sivil pimpinan Aung San Su Kyi dalam kudeta pada 1 Feb 2021, Myanmar telah menyaksikan ketidakstabilan dengan konflik antara orang awam dan angkatan bersenjata berlaku berulang kali.
5PC, yang disepakati ASEAN pada April 2021 selepas kudeta tentera itu adalah; menghentikan keganasan dengan segera; mengadakan dialog dengan semua pihak yang berkepentingan; melantik seorang utusan khas untuk memudahcara mediasi; membenarkan delegasi mengunjungi dan berjumpa dengan pihak berkepentingan di Myanmar; dan membenarkan ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
Terdahulu, laman web berita Myanmar, The Irrawaddy, melaporkan Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai mencadangkan untuk menganjurkan pertemuan tidak rasmi bersama Myanmar pada 18-19 Jun.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada "kenyataan sebuah negara anggota ASEAN" semasa sidang pemimpin di Indonesia pada Mei, yang menyatakan bahawa sudah tiba masanya bagi blok ini untuk "libat urus semula sepenuhnya dengan Myanmar pada peringkat pemimpin".
#Myanmar #Zambry Abd Kadir #Kementerian Luar #Konsensus 5 Perkara
;