Perbincangan mengenai Tabung Kewangan Asia sedang berlangsung - Anwar

Bernama
September 6, 2024 13:45 MYT
Anwar berkata demikian dalam satu temu bual bersama agensi berita Rusia RIA Novosti dan stesen televisyen negara itu RT. - Gambar fail
VLADIVOSTOK (Rusia): Rundingan mengenai penubuhan Tabung Kewangan Asia sedang berlangsung dan tabung itu tidak boleh dianggap sebagai alternatif, tetapi sebagai pelengkap kepada institusi kewangan antarabangsa sedia ada.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam satu temu bual bersama agensi berita Rusia RIA Novosti dan stesen televisyen negara itu RT.
Perdana Menteri berkata bahawa beliau mencadangkan penubuhan tabung itu kerana percaya bahawa perlu ada mekanisme alternatif untuk melengkapi dan kadangkala menangani tekanan, sambil menambah bahawa tidak ada keperluan untuk persaingan, lapor Sputnik.
"Kami membincangkan perkara ini secara serius dalam kalangan ASEAN dan dengan China untuk mewujudkan tabung itu, dan saya turut membangkitkan perkara ini dengan Perdana Menteri Jepun (Fumio Kishida). Jadi, rundingan sedang berlangsung," kata Anwar di luar sidang Forum Ekonomi Timur (EEF).
Forum Ekonomi Timur bermula pada Selasa dan akan berakhir hari ini (Jumaat).
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Rusia #tabung kewangan asia #institusi kewangan antarabangsa
;