Perbincangan mengenai SFZ, SEZ di Johor di peringkat akhir - PM Anwar
Firdaus Azil
Disember 23, 2023 17:25 MYT
Disember 23, 2023 17:25 MYT
PUTRAJAYA: Perbincangan antara Malaysia dan Singapura mengenai Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Iskandar Puteri, Johor, kini berada di peringkat terakhir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat beberapa isu yang perlu diperhalusi memandangkan kedua-dua zon itu terletak selari antara satu sama lain.
Katanya lagi, beliau akan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada pertengahan Januari, dan isu SEZ serta SFZ itu akan dibincangkan bersama-sama isu lain yang masih tertunggak.
“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri Hsien Loong pada pertengahan Januari depan di sempadan, dan selepas itu kami akan menghadiri jamuan makan tengah hari di Istana Singapura (Kediaman Rasmi Presiden Singapura).
“Tetapi dalam tempoh satu tahun, hubungan dengan jiran-jiran kita jauh lebih baik. Saya bukan hendak menambah-nambah, tetapi ia adalah fakta.
"Dengan Singapura, kita harap dapat selesaikan isu yang sekian lama tertunggak seperti bekalan air, HSR, dan lain-lain. Sikap PM Hsien Loong dan Kabinet sangat mesra dan menyokong,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang, serta Pengarang-pengarang Kanan Media Elektronik, Cetak dan Dalam Talian, di Putrajaya, pada Sabtu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri pada November lepas berkata, Kerajaan Negeri berharap perjanjian Johor-Singapura SEZ dan SFZ dapat dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani pada Januari depan.
Beliau berkata, kedua-dua zon itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri, selain mengharapkan agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dapat diteruskan demi menyokong kewujudan zon ekonomi tersebut.