Perbincangan mengenai kabel dasar laut Sarawak-Singapura akan dimuktamadkan tidak lama lagi
Bernama
Februari 10, 2025 06:45 MYT
Februari 10, 2025 06:45 MYT
Abang Johari (kanan) bersama moderator selepas menyampaikan syarahan umum di Institut ISEAS-Yusof Ishak, di Singapura, pada Isnin. - Gambar Facebook Sarawakku
SINGAPURA: Kaedah pembinaan bagi projek kabel elektrik dasar laut berkapasiti 1,000 megawatt (MW) dari Sarawak ke Singapura dijangka dimuktamadkan pada suku pertama tahun ini, menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau juga menjangkakan perkara itu akan disusuli dengan perjanjian bersyarat antara Malaysia dan Singapura.
"Kami masih dalam perbincangan mengenai kaedah pembinaan kabel ini. Saya menjangkakan perbincangan ini akan dimuktamadkan dalam suku pertama tahun ini, diikuti dengan kemungkinan pemeteraian perjanjian antara Malaysia dan Singapura," katanya seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Terdahulu, beliau menyampaikan syarahan umum di Institut ISEAS-Yusof Ishak, di sini.
Abang Johari berkata, perkara itu turut dibincangkan semasa mesyuarat dua hala yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong.
Menurut beliau, pemasangan kabel dasar laut itu melibatkan pelbagai aspek teknikal, termasuk perolehan dan 'pelaksanaan', memandangkan hanya terdapat tiga kabel dasar laut seumpamanya di dunia.
Sementara itu, Abang Johari berkata, dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Singapura Dr. Vivian Balakrishnan, mereka membincangkan mengenai penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral Singapura di Kuching, Sarawak.
Beliau sebelum ini memaklumkan bahawa penubuhan pejabat itu telah dipersetujui semasa Permukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura ke-10 pada 2023.
"Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengenal pasti lokasi. Selain itu, perbincangan turut diadakan mengenai kerjasama antara Malaysia dan Singapura, khususnya antara Sarawak dan Singapura," katanya. - BERNAMA