Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu: Pemangku Raja Pahang pertama tiba di Istana Negara

Firdaus Azil
Jun 16, 2021 12:20 MYT
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menjadi yang pertama tiba di Istana Negara, kira-kira jam 11.03 pagi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah bersama Majlis Raja-raja Melayu berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Terdahulu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menjadi yang pertama tiba di Istana Negara, kira-kira 11.03 pagi.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar kemudian tiba di Istana Negara pada pukul 12.02 tengah hari.
Media bagaimanapun dimaklumkan Raja-Raja Melayu yang lain akan tiba kira-kira pukul 1 tengah hari, dan Perbincangan Khas itu akan bermula pada pukul 2.30 petang.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Istana Negara bahawa Al-Sultan Abdullah akan mengemukakan hasil pertemuan Tuanku dengan ketua-ketua parti politik kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas ini.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan tersebut turut berkata, beberapa pakar agensi-agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik, dan ekonomi negara di Perbincangan Khas Raja-raja Melayu hari ini.
Dalam pada itu, media difahamkan, antara pegawai kanan kerajaan yang dipanggil untuk sesi Sembah Taklimat ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Turut diperkenan masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu ialah Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohd Rabin Basir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.
Kesemua mereka dijadual memasuki Pintu Dua Istana Negara antara pukul 12.30 hingga 2 petang.
#Majlis Keselamatan Negara #Yang di-Pertuan Agong #ekonomi #Istana Negara #tengku hassanal ibrahim #Al-Sultan Abdullah #Sultan Ibrahim #Raja-raja Melayu #parti politik #perbincangan khas
;