Perbincangan kemudahan kereta kabel di Kuil Batu Caves akan diteruskan - Subramaniam
Anthea Yap
Januari 24, 2016 19:12 MYT
Januari 24, 2016 19:12 MYT
Kerajaan akan terus berbincang dengan pihak berkaitan bagi mewujudkan kemudahan pengangkutan kereta kabel di Batu Caves yang sebelum ini tergendala kerana tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan kini sedang menimbang untuk menyediakan kemudahan pengangkutan alternatif kepada pengguna di kuil itu yang semakin meningkat.
Menurutnya, kemudahan baharu yang akan disediakan akan turut mengambil kira golongan kurang upaya atau sakit untuk naik ke kuil itu.
"Matlamat utama adalah untuk membina kereta kabel, namun ia berdepan pelbagai masalah membabitkan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan di peringkat kebangsaan, mahupun di peringkat negeri yang tidak meluluskan pembangunannya.
"Kita akan teruskan perbincangannya dan akan mendapatkan pandangan dari segi kesan ekosistem dan alam sekitar yang perlu kita teliti dengan berhati-hati," katanya pada sidang media bersempena sambutan Thaipusam 2016 di sini hari ini.
Sebelum ini, Majlis Perbandaran Selayang mengeluarkan notis pemberhentian bagi pembinaan projek kereta kabel yang bernilai RM10 juta itu kerana tanahnya yang tidak stabil serta menjejaskan keselamatan.
Pembinaan projek itu telah diserahkan kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Calcutta, India iaitu Damodar Ropeways.
Sementara itu, Subramaniam berkata sebuah Pusat Kebudayaan India akan dibangunkan di Batu Caves dalam masa terdekat.
Penubuhan pusat itu dijangka menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, selain menunjukkan identiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
"MIC akan memberi kerjasama penuh untuk usaha membangunkan pusat kebudayaan ini," katanya.