Perbincangan antara Petros, Petronas masih dijalankan - Abang Johari

Bernama
September 9, 2024 16:30 MYT
Abang Johari (foto) berkata Petros masih dalam proses perbincangan dengan Petronas berkaitan penyeliaan perdagangan minyak dan gas (O&G) di negeri itu. -Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Anak syarikat kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), masih dalam proses perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkaitan penyeliaan perdagangan minyak dan gas (O&G) di negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ringkasan AI
  • Petros masih dalam perbincangan dengan Petronas mengenai penyeliaan perdagangan minyak dan gas di Sarawak, dengan tempoh akhir perbincangan sebelum 1 Oktober.
  • Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan tiada isu di antara Petros dan Petronas, dan kontrak LNG dengan rakan niaga Korea Selatan dan Jepun tidak akan terjejas.
  • Abang Johari memberi jaminan bahawa bekalan gas tidak akan terganggu walaupun Petros menjadi agregator gas tunggal di Sarawak, dan kerajaan Sarawak mempunyai kepentingan dalam LNG.

Mengulas laporan yang mendakwa perbincangan itu kini menemui jalan buntu, beliau sebaliknya menegaskan bahawa tempoh akhir bagi perbincangan kedua belah pihak itu masih kekal sebelum 1 Oktober.
“Petros akan bekerjasama dengan Petronas dalam pembangunan aktiviti huluan dan hiliran.
"Inilah sebabnya saya katakan bahawa ia (media) mungkin telah disalah maklum atau (mendapat) data atau input salah sejak dua hari lepas," katanya kepada pemberita di luar persidangan APPEC 2024 di sini, hari ini.
Abang Johari juga menegaskan bahawa “tiada sebarang isu antara kami dengan Petronas.”
Diminta mengulas mengenai laporan media mengenai kemungkinan Petronas mengambil tindakan undang-undang, beliau berkata : “Kami tidak tahu menahu mengenainya. Anda kena tanya Petronas mengenai perkara itu.”
Beliau turut memberi jaminan bahawa kontrak jangka panjang berkaitan gas asli cecair (LNG) dengan rakan-rakan niaga Korea Selatan dan Jepun juga tidak akan terjejas walaupun Petros agregator gas tunggal di Sarawak.
“Tiada apa yang berlaku. Anda juga harus sedia maklum bahawa kerajaan Sarawak mempunyai ekuiti dalam LNG dan kerana kami ada kepentingan dalam LNG, saya tidak rasa kami mahu menjejaskannya.
“Oleh itu, kontrak-kontrak sedia ada kami dengan pelanggan kekal tidak terjejas,” katanya.
Mengambil maklum terhadap kebimbangan kalangan industri mengenai kemungkinan berlakunya gangguan bekalan gas jika Petros memikul peranan sebagai agregator, Abang Johari sebaliknya memberi jaminan dengan berkata: “Ini tidak akan berlaku. Kami ada kepentingan, baik dalam operasi huluan dan hiliran, oleh itu bekalan LNG ini akan diteruskan seperti biasa.”
-- BERNAMA
#Petronas #Petros #Petroleum Sarawak #aktiviti huluan dan hiliran #Abang Johari Tun Openg
;