Perbicaraan Shalwati dan Azizul berakhir Jumaat

Linawati Adnan
Mac 13, 2014 15:36 MYT
Mahkamah Daerah Solna di Sweden menetapkan hari Jumaat, 14 Mac untuk mendengar hujah peguambela bagi perbicaraan pasangan Malaysia yang ditahan kerana didakwa memukul kempat-empat anak mereka.
Perbicaraan semalam juga melihatkan tiga pegawai khidmat sosial memberi kenyataan di hadapan Ketua Hakim Mattias Moller.
Ketiga-tiga pegawai khidmat sosial itu disoal pendakwaraya Anna Arnell di dalam bahasa Sweden.
Menurut ahli keluarga yang hadir pada perbicaraan itu, mereka tidak memahami soal jawab pendakwaraya dan pegawai-pegawai khidmat sosial itu. Ini kerana mereka tidak diberikan alat dengar terjemahan dan tiada jurubahasa berada di dalam mahkamah.
Hari kesepuluh perbicaraan ini juga menyaksikan perbincangan mengenai kemungkinan bagi Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awaluddin menjalankan khidmat masyarakat jika didapati bersalah melanggar integriti anak-anak mereka.
Memandangkan tiada rekod sebelumnya bagi kedua-dua mereka, hakim berkata khidmat masyarakat boleh menjadi alternatif selain hukuman penjara.
Sejak ditahan pada tahun lepas, Azizul dan Shalwati belum bertemu dengan kempat-empat anak-anak mereka.
Azizul Awaluddin Raheem, seorang pegawai Tourism Malaysia dan Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.
Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.
Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.
#anak #Anna Arnell #Azizul Raheem Awalludin #dera #mahkamah #Malaysia #Shalwati Nor Shal #Sweden
;