Perbicaraan secara maya jadi aspek kekal dalam sistem advokasi - Tengku Maimun

Firdaus Azil
Januari 14, 2022 14:06 MYT
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Prosiding mahkamah secara maya kini telah menjadi aspek yang tidak boleh dielakkan lagi, atau ‘indelible’ dalam sistem advokasi masa kini, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Sewaktu berucap di Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman, di sini hari ini, Tengku Maimun berkata, beliau menggunakan perkataan ‘indelible’ kerana persoalan timbul sama ada prosiding akan kembali secara fizikal seperti dahulu.
Tegasnya lagi, Badan Kehakiman sentiasa mendepani dalam teknologi, dan prosiding mahkamah secara maya menandakan ia berada di atas landasan yang betul.
“Pelaksanaan perbicaraan secara maya bukan sekadar langkah menghadapi pandemik (COVID-19), tetapi ia menjadi ciri kekal dalam sistem keadilan kita. Maka tidak timbul sama soalan untuk kembali semula seperti dahulu,” katanya lagi.
Tengku Maimun berkata, sewaktu negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac, 2020, mahkamah terpaksa meneruskan perbicaraan secara maya dengan persetujuan kedua-dua pihak, atas nama keadilan.
Ini kerana, jelasnya lagi, tiada perundangan jelas pada masa itu bahawa perbicaraan atas talian boleh dilakukan atas kehendak mahkamah.
Kini, beliau berkata, Parlimen telah masuk campur untuk membolehkan perbicaraan secara maya, tanpa mengambil kira persetujuan dua pihak, tetapi masih atas nama keadilan.
“Tiada ruang untuk pertikaian mengenai kaedah perbicaraan seperti ini kerana perubahan yang berlaku tidak hanya unik kepada Malaysia,” katanya lagi.
Biarpun ada masanya perbicaraan secara maya tidak sempurna, namun Tengku Maimun berkata, kelebihan yang dibawa bersama langkah itu, jauh melebihi kekurangan.
#Pembukaan Tahun Perundangan 2022 #Ketua Hakim Negara #Tengku Maimun Tuan Mat #perbicaraan maya
;