Perbicaraan Rosmah ditangguh lagi, saksi masih dalam kuarantin

Astro Awani
Februari 4, 2022 03:36 MYT
Perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan selepas saksi kedua pembelaan tidak dapat menghadiri prosiding hari ini - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan selepas saksi kedua pembelaan tidak dapat menghadiri prosiding hari ini.
Memetik portal Berita Harian, peguam Rosmah, Azrul Zulkifli Stork memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan bahawa penerbangan saksi itu dari Arab Saudi ke Kuala Lumpur pada 28 Januari ditunda kepada 29 Januari.
Susulan itu, saksi tersebut, bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod masih menjalani kuarantin wajib di rumah selepas pulang daripada mengerjakan umrah.
Siti Azizah dijadual tamat kuarantin pada 5 Februari inj selepas menjalani kuarantin wajib di rumah selama tujuh hari.
Hakim Mohamed Zaini dalam masa yang sama mengingatkan peguam bela kepada bekas isteri Perdana Menteri itu untuk memberikan keutamaan kepada kes rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak yang dihadapi Rosmah.
Mohamed Zaini berkata, beliau mengambil maklum bahawa pasukan pembelaan mempunyai jadual yang ketat, bagaimanapun meminta mereka menulis surat kepada mahkamah bagi menangguhkan kes lain.
Selepas mendengar penjelasan peguam, Mohamed Zaini kemudian menangguhkan prosiding kepada 15 Februari ini.
Rosmah, 71, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
#Rosmah Mansor #Kes mahkamah Rosmah #kes rasuah #berita Malaysia