Perbicaraan Najib: Tiada masalah kalau siar secara langsung - Anwar

Adie Sufian Zulkefli
Mac 31, 2019 19:08 MYT
ANWAR: Bagi saya tidak jadi masalah.
Tiada sebarang masalah sekiranya perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh tuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC International) bermula pada Rabu depan disiarkan secara langsung, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, bagaimanapun ia terserah kepada mahkamah memutuskan sama ada membenarkan siaran langsung atau sebaliknya kerana selama ini tidak pernah berlaku perkara demikian.
“Yang itu saya serah pada mahkamah sama ada (mahu buat) secara langsung atau tidak.
“Bagi saya tidak jadi masalah,” ujar Anwar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis dialog bersama penoreh getah daerah Padang Terap di Pengkalan Tok Mas dekat Padang Terap pada Ahad.
Dalam kenyataan pada Ahad, Najib menyokong penuh agar perbicaraannya yang bermula pada Rabu depan disiarkan secara langsung kerana rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran berhubung kes tersebut.
Beberapa pihak sebelum ini terutamanya yang menentang Najib menggesa agar perbicaraan kes beliau disiarkan secara langsung, namun cadangan itu juga mendapat sokongan mereka yang bersama pemimpin itu supaya kes itu dikendalikan secara telus.
Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 28 Mac lalu menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dihadapi bekas Presiden UMNO tersebut.
Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.
Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.
Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.
#Anwar Ibrahim #bekas perdana menteri #kes mahkamah #Najib Razak #perbicaraan #Presiden PKR #siaran langsung #SRC International
;