Perbicaraan kes saman fitnah Sultanah Terengganu bermula 1 Ogos

Bernama
April 4, 2022 17:22 MYT
Pada 28 Mac lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk menangguhkan perbicaraan kes saman itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman yang difailkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose akan bermula 1 Ogos ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah, memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Rini Triany Muhamad Ali menetapkan perbicaraan kes itu selama empat hari pada 1 dan 4 Ogos serta 6 dan 7 Okt ini ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.
Prosiding itu turut disertai peguam Mervyn Lai, yang mewakili Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd selaku defendan pertama hingga ketiga.
Perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee.
Pada 28 Mac lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk menangguhkan perbicaraan kes saman itu.
Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.
Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.
Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.
Rewcastle-Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB.
-- BERNAMA
#Sultanah Terengganu #Sultanah Nur Zahirah #editor Sarawak Report #saman #Clare Rewcastle-Brown #1MDB
;