Perbicaraan kes rogol babitkan bekas Exco Perak bersambung

Abd Razak Mohd Ali
Julai 12, 2021 18:50 MYT
Pertuduhan terhadap Paul Yong Choo Kiong dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - Gambar fail
IPOH: Kes rogol melibatkan bekas Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong bersambung di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin.
Perbicaraan bermula pukul 11 pagi dengan pihak pendakwaan memanggil lima orang saksi hari ini.
Seorang saksi memberitahu mahkamah bahawa terdapat lapan tompokan kesan air mani ditemui di cadar katil di rumah Choo Kiong.
Pegawai Jabatan Forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Inspektor V. Simon, 38, berkata demikian ketika mengenal pasti lebih 10 barang kes di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi, pegawai polis itu memberitahu, antara barang kes lain termasuklah cebisan cadar, kayu mop, seluar dalam lelaki, kemeja T, seluar pendek dan pakaian dalam wanita.
Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir memohon untuk melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi berkenaan esok.
Terdahulu pada prosiding di sebelah pagi, seorang saksi memberitahu bahawa isteri tertuduh ada menghubunginya untuk mengetahui laporan perubatan wanita warga Indonesia yang diambil sebagai pembantu rumah.
Chor Pei Sun, 47, yang juga kakitangan pemasaran dan jualan di sebuah agensi pembantu rumah berkata, dia bagaimanapun tidak mengingati tarikh panggilan itu dibuat namun diterima sebelum berlaku kes rogol membabitkan Choo Kiong.
Pei Sun yang juga saksi pendakwaan ke-12 bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam tertuduh bahawa isteri Choo Kiong ada bertanyakan sama ada pembantu rumahnya itu mempunyai masalah mental sebelum datang ke Malaysia.
Sebelum ini Abdul Wahab mengekalkan tarikh perbicaraan pada 12 hingga 16 Julai ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terkini.
Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong, didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
#bekas exco perak #Paul Yong Choo Kiong #kes rogol #Mahkamah Tinggi Ipoh #pembantu rumah indonesia
;