Perbicaraan kes jual sijil lahir, MyKad bermula 6 April tahun depan
Bernama
Oktober 3, 2019 21:47 MYT
Oktober 3, 2019 21:47 MYT
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan lima hari bermula 6 April 2020 sebagai tarikh perbicaraan kes seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan lima lagi individu yang berdepan 13 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.
Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memohon kesemua tertuduh dibicarakan bersama atas alasan kesemua pertuduhan melibatkan transaksi dan subjek yang sama.
Mahkamah turut menetapkan 29 hingga 31 Okt ini untuk deposisi bagi saksi utama pendakwaan merupakan seorang warga China memberi keterangan.
Terdahulu, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34, dan Chien Guan Chai, 36, masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.
Bagi dua pertuduhan itu, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Februari 2019.
Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing didakwa atas dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.
Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.
Untuk kesemua pertuduhan itu, mereka masing-masingnya didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di dua mahkamah di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid menetapkan 14 Okt ini untuk pengurusan kes lima daripada tertuduh itu yang didakwa atas pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes Mohd Faizul yang berdepan lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Pada 12 Sept lepas, lima daripada mereka kecuali Mohd Faizal Tan masing-masingnya mengaku tidak bersalah terhadap 14 pertuduhan di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara Januari dan Mei 2019.
Untuk kesemua pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama Tan Xiu Xiu, Lim Hock Eng, Ewe Chor Beng, Yang Xiaohong dan Pheh Jin Leong di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara 20 Sept 2018 hingga 3 Mei 2019.
Bagi kesemua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karim dan dibantu Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Shafiq Sazali.
-- BERNAMA
#Jabatan Pendaftaran Negara
#JPN Pulau Pinang
#kes jual MyKad
#kes jual sijil lahir
#Mahkamah Tinggi
#penolong pengarah JPN
#perbicaraan
#sijil kelahiran