Perbicaraan kes Ebit Lew ditangguh Mei depan
Astro Awani
Februari 9, 2023 16:50 MYT
Februari 9, 2023 16:50 MYT
TENOM: Perbicaraan pendakwah terkenal, Ebit Lew membabitkan kes gangguan seksual yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom ditangguhkan pada Mei depan.
Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan 11 dan 12 Mei sebagai tarikh baharu perbicaraan, manakala 20 hingga 23 Jun dan 11 hingga 14 Julai sebagai tarikh sambungan perbicaraan seterusnya.
Nur Asyraf berkata, demi kepentingan keadilan bersama, mahkamah membenarkan penangguhan prosiding sehingga semakan selesai didengar dan diputuskan.
Sebelum itu, peguam Ram Singh, ketika sesi penghujahan menyatakan permohonan penangguhan dibuat bagi membolehkan pihaknya membuat semakan dokumen berkaitan 90 imej lucah di Mahkamah Tinggi berkaitan langkah memanggil Inspektor Yip Chang Ching sebagai saksi pendakwaan ketujuh.
Mahkamah membenarkan Chang Ching memberi keterangan, namun. menyatakan peguam bela turut mempunyai hak meminta masa munasabah bagi meneliti dokumen itu, selain memeriksa mana-mana saksi berhubung dengan dokumen itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria menyatakan pihak pendakwaan tiada bantahan dan bersetuju dengan cadangan mahkamah.
Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021.
Pendakwah terbabit didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.