Perbicaraan kes bunuh Kim Jong Nam: Rakaman CCTV tidak disunting - saksi
Madiha Abdullah
Januari 23, 2018 18:47 MYT
Januari 23, 2018 18:47 MYT
Perbicaraan kes bunuh warga Korea Utara, Kim Jong Nam disambung hari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan dua saksi dipanggil bagi memberi keterangan.
Fokus perbicaraan hari ini ialah menentukan keaslian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Saksi ke-29 kes, Mohd Fauzan Suparman, yang bertanggungjawab menyelia rakaman kamera CCTV di KLIA, mengesahkan semua rakaman yang dipertontonkan kepada mahkamah adalah rakaman asal dan tidak disunting, serta tiada cara yang membolehkan rakaman asal disunting sebelum dimuat turun ke dalam bentuk DVD.
Saksi juga memberitahu mahkamah, dia hanya diarahkan untuk mengesan enam lelaki dalam rakaman CCTV, namun tidak diberitahu identiti dan kewarganegaraan keenam-enam lelaki terbabit.
Mahkamah turut dimaklumkan rakaman CCTV di lokasi tersebut akan disimpan selama 60 hari di dalam server, dan jika tidak dimuat turun untuk disimpan, ia akan terpadam secara automatik selepas 60 hari.
Sementara itu, seorang lagi saksi, G. Shanker, bersetuju dengan hujah pendakwaraya bahawa kebocoran rakaman CCTV di KLIA2 ke saluran televisyen Jepun, Fuji TV, hanya boleh terjadi melalui dua sumber iaitu sumber asal rakaman dari server CCTV, atau DVD di mana rakaman dimuat turun untuk diberikan kepada pegawai penyiasat.
Dalam sidang media selepas prosiding selesai, Gooi Soon Peng, peguam bela salah seorang suspek, Siti Aishah, berkata, apa yang menjadi persoalan pihaknya adalah bagaimana kebocoran itu boleh berlaku.
"Kami terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rakaman CCTV dari lokasi, iaitu pada bulan Jun 2017, beberapa bulan selepas kejadian berlaku.
"Jadi bagaimana satu stesen televisyen luar boleh mendapatkannya dalam masa beberapa hari sahaja?" soalnya.
Prosiding hari ini tamat kira-kira jam 3.45 petang dan akan bersambung jam 9 pagi esok.