Perbicaraan kes bunuh Kevin Morais bermula hari ini, pendakwa raya panggil 60 saksi

Bernama
April 5, 2016 07:48 MYT
Mayatnya ditemukan dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept tahun lepas. - Gambar fail
Perbicaraan tujuh lelaki, termasuk seorang doktor, atas pertuduhan membunuh dan bersubahat dalam pembunuhan timbalan pendakwa raya Datuk Anthony Kevin Morais akan bermula hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa semasa dihubungi berkata Mahkamah Tinggi menetapkan 16 hari untuk perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Tarikh perbicaraan adalah seperti berikut: 6 April hingga 15 April; 3 Mei hingga 6 Mei; 6 Jun hingga 8 Jun; dan 27 Jun hingga 28 Jun. Pihak pendakwa raya akan memanggil 60 saksi.
Peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili doktor dan ahli patalogi tentera Kolonel Dr K. Kunaseegaran, berkata beliau sudah bersedia bagi perbicaraan itu.
"Bagi diri saya anak guam saya tiada kena mengena langsung dengan kematian Kevin dan beliau tidak membantu atau bersubahat dalam apa cara sekalipun," katanya ketika ditanya tentang kes anak guamnya itu.
Pada 27 Januari lepas, enam lelaki - G. Gunasekaran, 43; R. Dinishwaran, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravichandaran, 34, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh semasa dihadapkan ke mahkamah.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.
Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Kunaseegaran, 52, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.
Pada 28 Mac, Nimalan dan Thinesh Kumar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu cuba menyembunyikan mayat dan menyebabkan kematian Kevin Morais.
Nimalan, pelajar kolej didakwa membantu menyembunyikan mayat dan memusnahkan sebuah kenderaan dengan niat untuk menghalang enam yang lain daripada berdepan tindakan undang-undang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Thinesh Kumar, penganggur, didakwa bersama-sama enam individu lain menyebabkan kematian Kevin semasa dalam perjalanan di antara Jalan Dutamas 1 di sini dan No 20, Desa Mentari, Petaling Jaya pada 4 Sept, 2015, antara 7 pagi dan 11.30 pagi.
Dia didakwa melakukan pembunuhan secara tidak sengaja mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sekiranya menolak pertuduhan alternatif yang ditawarkan, Nimalan dan Thinesh Kumar masih dituduh bersama dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September tahun lepas.
Beliau dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.
Mayatnya ditemukan dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September tahun lepas.
Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravichandaran akan diwakili peguam V. Rajehgopal manakala Dinishwaran dan Thinesh Kumar oleh peguam M. Manoharan.
#Azman Abdullah #bunuh #Datuk Abdul Razak Musa #Kevin Morais
;