Perbicaraan bekas pengarah JANS dan tiga lagi ditangguh ke Mei

Bernama
April 3, 2018 13:39 MYT
Teo Chee Kong. fotoBERNAMA / Fail
Perbicaraan kes pengubahan wang haram melibatkan bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan tiga individu lagi ditangguhkan ke bulan depan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak pendakwaan dan pembelaan menerima surat bertarikh 28 Mac daripada Mahkamah Sesyen di sini bahawa perbicaraan itu yang dijadualkan bermula hari ini, dijadualkan semula ke 7 hingga 11 Mei.
Perbicaraan itu dijangka didengar di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Bekas Pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, isterinya, Fauziah Piut, 51, bekas Timbalan Pengarah JANS Teo Chee Kong, 52, dan seorang lagi bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng, 62, akan dibicarakan atas 183 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai hampir RM100 juta.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu melalui penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan projek-projek yang dibiayai oleh JANS antara 2010 dan 2016.
-- BERNAMA
#air #JANS #Mahkamah Sesyen #pengubahan wang haram #Sabah #Teo Chee Kong
;