Perbicaraan bekas pelajar saman guru ponteng bermula 12 September
Abdul Hafiz Mustadi
September 3, 2022 10:58 MYT
September 3, 2022 10:58 MYT
PENAMPANG: Tindakan mahkamah oleh empat bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud terhadap seorang guru Bahasa Inggeris yang didakwa tidak hadir ke kelas selama tujuh bulan pada 2015 bakal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu 12 September ini.
Perbicaraan itu pertama kali diadakan selepas pemfailan pertama kes tersebut pada Oktober 2018 oleh salah seorang bekas pelajar Siti Nafirah Siman yang kemudiannya diikuti oleh Rusiah Sabdarin, Calvina Angayung, dan Nur Natasha Allisya Hamal pada Disember 2020.
Siti Nafirah di dalam satu sidang media berkata, tindakan berkenaan diambil bagi membela hak pelajar seperti mereka terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar untuk mendapatkan akses pendidikan yang sewajarnya daripada kerajaan.
"Saya ingin membuka mata pentadbir sekolah, ibu bapa, guru, dan pelajar.
"Kita mesti mengutamakan pendidikan dan tidak ada yang lebih asas kepada pendidikan berkualiti
melainkan guru masuk kelas mengajar dan mendidik", jelasnya.
Bagi Rusiah, Nur Natasha Allisya, dan Calvina, mereka bersepakat mengikut jejak langkah langkah Siti Nafirah pada Disember 2020 dengan tujuan yang sama.
"Untuk semua guru jujur yang menderita dan bekerja keras menggantikan rakan sekerja mereka yang tidak hadir.
"Untuk semua ibu bapa yang menderita, yang menyedari anak-anak mereka telah ditipu daripada mencapai
potensi diri.
"Kes ini untuk kita semua, pelajar yang menderita dan terluka di mana keterangan anda sebagai saksi boleh melindungi masa depan negara kita", menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan itu.
Terdahulu, seorang guru Bahasa Inggeris di SMK Taun Gusi didakwa tidak hadir ke kelas selama 7 bulan pada tahun 2015 oleh Siti Nafirah ketika beliau masih bergelar pelajar di sekolah tersebut.
Rusiah, Calvina, dan Nur Natasha Allisya turut mendakwa guru yang sama mengabaikan tanggungjawab dengan jarang masuk ke kelas, masuk lewat, dan keluar lebih awal sebelum kelas tamat.
Kes bakal dibicarakan di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Akta Pendidikan 1996, Perlembagaan Persekutuan Artikel 5 dan 12, dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah semua artikel berkaitan termasuk hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.
Turut dinamakan sebagai defendan di dalam proses pendakwaan itu, Guru Bahasa Inggeris SMK Taun Gusi, Mohd Jainal Jamran, mantan pengetua Suid Hanapi, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia, dan Kerajaan Malaysia.