Perbicaraan Ahmad Zahid: Sumbangan untuk kebajikan, keagamaan - Peguam
Astro Awani
September 9, 2021 17:49 MYT
September 9, 2021 17:49 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, lebih RM9 juta yang disumbangkan oleh salah sebuah syarikat pemegang taruh kepada Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk tujuan kebajikan dan keagamaan termasuk untuk membina masjid.
Peguam pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu, berdasarkan keterangan saksi Pengarah Bukan Eksekutif MyEG Services, Mohd Jimmy Wong Abdullah, wang yang disalurkan kepada yayasan itu adalah atas kehendaknya sendiri dan tiada kaitan dengan MyEG Services Sdn Bhd.
MyEG Services Sdn Bhd diberi kontrak untuk menguruskan perkhidmatan kerajaan yang berkaitan dengan polis trafik, Jabatan Pendaftaran Negara dan serta Jabatan Imigresen.
Ketika itu, Ahmad Zahid merupakan Menteri Dalam Negeri.
"Dengan ini, sumbangannya itu tidak boleh dianggap sebagai pembiayaan haram atau menyalahi undang-undang," katanya pada prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan keterangan saksi-saksi perbankan mendapati mereka tidak menerima laporan daripada pemegang amanah yayasan itu, Tetuan Lewis & Co yang curiga dengan sumbangan yang dimasukkan ke dalam firma itu.
Malah Hisyam Teh turut menjelaskan yang anak guamnya tidak mengetahui atau tidak mempunyai kaitan dengan pemilik cek terbabit.
Menurutnya, urus niaga berjalan secara telus dan perkara itu turut disahkan saksi pendakwaan B. Muralidharan yang juga peguam firma tersebut.
Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding bersambung pukul 2.30 petang, Isnin depan selepas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan tidak dapat hadir pada sidang pagi kerana perlu hadir pada sesi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Parlimen.
Malah beliau memerlukan masa untuk menukar pakaiannya, yang lebih bersesuaian dengan mahkamah.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.