Perbicaraan Ahmad Zahid: RM1.3 juta adalah sumbangan kepada persatuan bola - Peguam

Hasimi Muhamad
September 8, 2021 16:19 MYT
Ahmad Zahid, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak melakukan pecah amanah melibatkan pertuduhan penggunaan dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM1.3 juta.
Berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Peguam Hamidi Mohd Noh berkata, wang tersebut yang dibayar menggunakan dana Yayasan Akalbudi, adalah sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelas beliau, persatuan bola tersebut pada November 2015, menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat membayar gaji pemain.
"Kedua-dua pemegang amanah Yayasan Akalbudi datang ke mahkamah dan menegaskan bahawa RM1.3 juta itu bertujuan meringankan keadaan kewangan persatuan bola sepak dan mereka telah membenarkan pembayaran tersebut," hujahnya di mahkamah, di sini hari ini.
BACA: Tiada bukti kukuh pertuduhan pecah amanah babitkan Ahmad Zahid - Peguam
Sebelum ini, saksi ke-19 pendakwaan, Datuk Zul Hisham Zainal, yang juga menantu kepada Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa Yayasan Akalbudi mengeluarkan cek berjumlah RM1.3 juta kepada Persatuan Bola Sepak PDRM bagi membayar tunggakan gaji pemain dan urusan pentadbiran persatuan itu.
Zul Hisham menjelaskan ia bagi membayar gaji pemain dan pengurusan pentadbiran yang tertunggak selama empat bulan sekitar 2015.
Hamidi menambah, Ahmad Zahid adalah Menteri Dalam Negeri ketika itu dan pasukan polis berada di bawah bidang kuasanya.
Selain itu, Hamidi berhujah cek bernilai RM1.3 juta yang ditandatangani oleh Presiden UMNO itu adalah dibenarkan mengikut perlembagaan Yayasan Akalbudi, atau Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A).
BACA: Perbicaraan Ahmad Zahid: Mahkamah Tinggi keluar peringatan susulan komen Nurulhidayah
Selain ia dibenarkan oleh M&A yayasan, Hamidi berkata para pemegang amanah Yayasan Akalbudi itu sendiri mengetahui mengenai sumbangan berkenaan, selain mereka tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Dua pemegang amanah Yayasan Akalbudi masing-masing ialah Muhammad Nabil Salleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan bersambung esok.
#Perbicaraan rasuah Ahmad Zahid #Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur #Yayasan Akalbudi #berita hari ini
;