Perbezaan pendapat perlu ditangani dengan adab terbaik - Ahmad Zahid

Bernama
September 15, 2024 00:24 MYT
Ahmad Zahid bersama Mohd Na'im (tiga, kiri) hadir pada Program Malam Cinta Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 di Dataran Putra, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pada ketika menyambut Maulidur Rasul tahun ini, umat Islam diingatkan untuk menangani perbezaan pendapat dalam masyarakat dan organisasi dengan adab yang terbaik.
Beliau berkata masyarakat dan pemimpin, perlu mengikuti teladan Rasulullah SAW yang menonjolkan akhlak terpuji dan harus dicontohi, lebih-lebih lagi pada ketika masyarakat dunia melihat Malaysia sebagai contoh.
"Maka apa yang terbaik ialah cara kita menyampaikan risalah, cara pendakwah atau daie menyampaikan pesan, mesti berlandaskan kepada akhlak yang baik.
"Jika ada perbezaan pendapat pun dalam kalangan kita, kedudukan kita dalam komuniti atau organisasi mesti ada adab yang terbaik, dan adab menangani perbezaan ini ada yang berlandaskan tasawuf," katanya berucap pada Majlis Malam Cinta Rasul, di sini hari ini.
Ahmad Zahid menyeru rakyat pada ketika meraikan Maulidur Rasul untuk meningkatkan ukhwah dan melupakan perbezaan yang furuk sesama ummah.
Beliau dalam masa yang sama mengajak orang ramai untuk memberikan bantuan yang termampu kepada rakyat Palestin.
Malam Cinta Rasul dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M dihadiri kira-kira 50,000 orang, dimulakan dengan solat maghrib dan isyak berjemaah.
Program itu turut diisi dengan sesi tausiyah atau ceramah mengenai sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW yang disampaikan Mufti Selangor Datuk Anhar Opir, Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, Timbalan Mufti Sabah Datuk Abdul Manap Lakariba, serta ulama terkemuka Habib Ali Zainal Abidin.
Kemuncak sambutan kelahiran Nabi Muhamaad SAW pada tahun ialah Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, esok.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis yang bertemakan 'Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI'.
Majlis itu yang akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dijangka dihadiri 6,000 tetamu.
-- BERNAMA
#JAKIM #Nabi Muhammad SAW #Maulidur Rasul #sesama ummah
;