Perbezaan pandangan dalam UMNO, selesai secara dalaman - Mahdzir

Adie Sufian Zulkefli
Mac 1, 2021 16:14 MYT
Datuk Seri Mahdzir Khalid menerima suntikan vaksin COVID-19 di Majlis Daerah Padang Terap, pada Isnin. - Gambar BERNAMA
PADANG TERAP: Barisan kepimpinan UMNO tidak perlu terlalu membahaskan hala tuju parti itu sama ada mahu bergerak solo atau sebaliknya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengelak polemik dalam kalangan ahli dan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pendedahan yang terlalu banyak mengenai hal dalaman parti pasti akan menimbulkan rasa kurang senang dan tanggapan yang tidak baik terhadap parti.
Katanya, UMNO mempunyai formula sendiri dalam membuat keputusan berhubung hala tuju parti untuk menghadapi PRU-15 berteraskan solidariti kepimpinan parti dan ahlinya.
"Biar kita selesai sendiri kalau ada perbezaan pendapat pandangan. Itu biasa dalam politik tetapi cara kaedahnya tak payahlah terlampau terbuka, biarlah kita selesai secara dalaman," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Majlis Daerah Padang Terap, pada Isnin.
Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang penyelidik bahawa UMNO Kedah mempunyai peluang untuk menang dalam PRU-15 sekiranya bertanding solo melihat kepada sokongan rakyat yang didapati semakin meningkat selepas tewas pada PRU-14.
Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzsriean Mohd Nadzri berkata, perkembangan itu menunjukkan UMNO akan menjadi pilihan rakyat walaupun tanpa bergabung dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Baru-baru ini, Majlis Tertinggi UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 sekali gus mengundang pelbagai polemik termasuk dalam kalangan pemimpinnya.
#Mahdzir Khalid #UMNO #Kedah #COVID-19 #vaksin #pilihan raya umum #pilihan raya #politik
;