Perbezaan layanan undang-undang antara wakil rakyat dan penjawat awam tidak seharusnya berlaku - Rais Yatim

Firdaus Azil
April 21, 2022 15:35 MYT
Tan Sri Rais Yatim berkata, sewajarnya pihak penggubal dasar, termasuk Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji, dan seterusnya membuat pindaan bersesuaian, supaya setiap individu mempunyai hak sama rata di sisi undang-undang.
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berpendapat, pelepasan wakil rakyat baik Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri untuk terus bertugas biarpun disabit kesalahan rasuah, sesuatu yang harus dilihat semula.
Yang Di-Pertua Dewan Negara itu berkata, perkara itu berbeza dengan anggota perkhidmatan awam yang akan terus digantung tugas selepas disabitkan di mahkamah.
Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu antara 1974 hingga 2008 berkata, perbezaan itu perlu dikaji dengan teliti bagi memastikan prinsip hak sama rata dalam kalangan rakyat di negara ini.
Antirasuah | Rais persoal keistimewaan wakil rakyat yang bersalah
"Penting kesamarataan dalam kerja-kerja anti rasuah, berlaku di tanah air, khasnya ikut kehendak Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, misalnya setelah saya sebut sebentar tadi, seseorang pengkhidmat awam didapati bersalah di mahkamah, digantung kerja, tidak bertugas, tapi Ahli Parlimen, ADUN tidak digantung.
“Kononnya mereka bergantung kepada Perkara 48 Perlembagaan Pesekutuan. Pendapat saya itu tidak betul, mesti ada mekanisme kerajaan untuk mencutikan seseorang itu daripada bertugas, setelah mahkamah didapati beliau bersalah, dalam mana-mana perakuan jenayah rasuah atau jenayah biasa,” katanya lagi.
Rais berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Buku Ulasan 2020, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Mohd Azam Baki.
Beliau berkata, sewajarnya pihak penggubal dasar, termasuk Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji, dan seterusnya membuat pindaan bersesuaian, supaya setiap individu mempunyai hak sama rata di sisi undang-undang.
Mengulas mengenai laporan tersebut, Rais berkata, dokumen itu akan disampaikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat dan pihaknya berharap agar Perdana Menteri dapat membuat kenyataan mengenai syor yang disampaikan.
"Oleh kerana apabila eksekutif tidak bergerak atau menjuarakan apa yang dinasihatkan oleh lembaga, kita tak dapat menyatakan kejayaan bagi tanah air. Tetapi sekiranya Kabinet menerusi Perdana Menteri dapat beri pandangan serta permohonan untuk kita berkerja, maka kita terus berkesan dalam tugasan kita,” katanya lagi.
Antirasuah | Akta Perkhidmatan Parlimen perlu dihidupkan semula
Dalam pada itu, Rais turut berpendapat, ada keperluan untuk mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1962 yang telah dimansuhkan sejak 1992.
Beliau berkata, perkhidmatan Parlimen, khususnya penjawatan, tidak boleh berterusan diletakkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan badan itu dapat kembali bergerak bebas seperti sebelum ini.
"Seterusnya untuk memberi pandangan agar pindaan kepada akta kuasa dan keistimewaan Parlimen tadi diberi perhitungan dan diberi pertimbangan khusus serta jawatankuasa perkhidmatan Parlimen yang pada tahun 1999 sudah tidak lagi diberi kuasa pelaksanaannya, menyebabkan Parlimen bawah JPA.
“Jika Parlimen bawah JPA, bagaimana kami hendak kuatkuasa kehendak neutral dan kehendak kebebasan antirasuah kita? Sedangkan Parlimen dari realitinya hari ini adalah satu sudut kepada perkhidmatan JPA, bukan bebas seperti yang dinyatakan dalam surat khabar atau media," tegas beliau lagi.
Antirasuah | Layanan undang-undang harus sama rata
Rais berkata, ketika ini kerja-kerja menghidupkan semula akta tersebut dalam bentuk undang-undang baharu sedang giat dijalankan,
Jelasnya lagi, perkara itu sudah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri secara dasarnya dan pihak Parlimen berharap agar akta baharu itu dapat dibentangkan dan diluluskan pada sesi Julai ini.
Melalui akta yang membolehkan pengasingan antara Eksekutif dan Legislatif kembali unggul itu, maka langkah seterusnya, kata beliau, adalah untuk memastikan SPRM dinaungi di bawah Parlimen supaya badan pencegahan rasuah nasional itu dapat bergerak dengan lebih berkesan.
"Kerja-kerja ini perlu kita hadapi dan termasuk pentingnya SPRM itu berada di bawah pengawasan Parlimen. Tapi Parlimen pula seharusnya tidak berada penjawatannya di bawah JPA. Ia mesti sendiri. Sebab itu kami sedang menggubal satu undang-undang baru untuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dalam bentuk baharu.
“Perdana Menteri setuju pada dasarnya untuk percepatkan proses ini dan kami dapat hendaknya pada bulan Julai diluluskan sebagai penjuaraan utama Parlimen Malaysia. Selepas itu, baru kita dapat naungi SPRM dari segi keberkesanan, keneutralan, supaya tidak dicampur aduk dengan jabatan lain,” katanya lagi.
#Parlimen Malaysia #anti rasuah #Rasuah #Rais Yatim
;