Perbetul tanggapan pergi haji untuk sembuh penyakit, meninggal di tanah suci
Bernama
Januari 6, 2020 12:15 MYT
Januari 6, 2020 12:15 MYT
Tanggapan masyarakat di negara ini bahawa pergi menunaikan haji untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapi atau meninggal dunia di Tanah Suci adalah persepsi yang perlu diperbetulkan, menurut Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) 1440H/2019M Dr Mohammad Faid Abd Rashid.
Dr Mohammad yang kali kelima bertugas dengan pasukan petugas perubatan haji Malaysia berkata haji merupakan rukun Islam kelima diwajibkan atas umat Islam yang mampu antaranya dari segi kesihatan dan sepatutnya dilakukan demi mendapatkan haji mabrur dengan keizinan Allah.
Beliau berkata kesihatan merupakan syarat dalam kemampuan menunaikan haji atau istita'ah, justeru mereka yang tidak mampu dari sudut kesihatan tidak wajib menunaikan haji.
"Haji tidak sama dengan ibadah lain seperti solat yang jika tidak mampu, boleh solat dengan cara duduk, tetapi haji perlu ada kemampuan fizikal untuk melakukan rukun ibadah haji.
"Tujuan kerjakan haji bila balik kita dapat haji mabrur dan sihat, bukan anggapan pergi sana sembuh penyakit atau untuk meninggal dan sebagainya, itu salah. Kami (pasukan petugas perubatan haji) akan bantu untuk dapatkan kesihatan yang baik dan dapatkan haji mabrur," katanya ketika dihubungi Bernama.
Dr Mohammad Faid yang juga Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan berkata perkara paling penting dalam menentukan sama ada seseorang itu layak berdasarkan istita'ah kesihatan adalah pemeriksaan kesihatan yang dilakukan di negara asal sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada bakal jemaah haji supaya melakukan pemeriksaan kesihatan dan saringan lebih awal bagi mengesan penyakit yang dihidapi mereka.
"Mula-mula stabilkan penyakit bakal jemaah, kalau tidak lulus juga, rujuk kepada doktor pakar lihat apa boleh dilakukan. Jika akhir peringkat tidak layak, mereka ini tidak layak dari segi istita'ah kesihatan dan tidak wajib mengerjakan haji," katanya.
Beliau berkata antara penyakit yang tidak mewajibkan seseorang mengerjakan haji dari segi istita'ah kesihatan ialah penyakit mental dan pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis.
Katanya satu lagi persepsi perlu diperbetul jemaah haji ialah menganggap mereka yang sakit tidak mempunyai masalah mengerjakan haji kerana kemudahan kesihatan dan perubatan telah disediakan di Tanah Suci.
Dr Mohammad Faid berkata kemudahan disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Tabung Haji (TH) adalah berfokus kepada merawat penyakit yang dihidapi jemaah haji di Tanah Suci, dan bukan merawat penyakit yang dibawa dari Malaysia.
"Ramai anggap dah bawa doktor pakar dan ada kemudahan kesihatan perubatan, mereka (hidap penyakit) boleh pergi, itu tidak benar kerana ada rawatan yang di luar kawalan kita. Contohnya kurang darah anemia perlu buat pemindahan darah dan pesakit perlu dibawa ke Hospital Arab Saudi.
"Pasukan kami punya kemudahan kesihatan dan perubatan yang amat baik, tetapi kami tidak boleh rawat semua pesakit. Kami khuatir ada kemungkinan mereka tidak istita'ah kesihatan jadi lebih teruk dan meninggal dunia di Tanah Suci," katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan jemaah haji yang telah lulus pemeriksaan kesihatan di Malaysia, namun menghidap penyakit serius di Tanah Suci akan mendapat rawatan terbaik, malah pihak kami melaksanakan program seperti Safari Wukuf bagi membantu jemaah haji itu melengkapkan ibadah haji mereka.
"Pada program Safari Wukuf musim haji 2019 seramai 119 jemaah haji kami bawa dalam bas khas dan ambulans untuk mereka wukuf di Arafah. Jemaah haji yang tidak mampu tinggal lama, juga diaturkan untuk balik awal ke Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#Arab Saudi
#Hospital
#Islam
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#KKM
#Malaysia
#meninggal di Mekah
#meninggal dunia
#perubatan
#Tabung Haji