Perbelanjaan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dianggar RM6 juta - SPR

Bernama
Ogos 3, 2023 13:30 MYT
SPR menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan pada 9 Sept.- Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor dianggar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
"Perbelanjaan bagi PRK Parlimen Pulai dianggarkan RM4.5 juta manakala DUN Simpang Jeram sebanyak RM1.5 juta," katanya pada sidang media selepasmempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan, di sini hari ini.
SPR menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan pada 9 Sept, manakala penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi tersebut masing-masing pada 26 Ogos dan 5 Sept.
"Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Ogos sehingga pukul 11.59 malam, 8 Sept 2023," kata Abdul Ghani.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Abdul Ghani berkata SPR menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan," katanya.
Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh daripada portal SPR di www.spr.gov.my mulai hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 15 Ogos.
-- BERNAMA
#PRK #Parlimen Pulai #DUN Simpang Jeram #SPR #perbelanjaan