Perbelanjaan pelawat domestik melonjak RM64.1 bilion pada 2022 - DOSM

Bernama
Jun 26, 2023 14:51 MYT
Jumlah pelawat domestik melonjak 160.1 peratus untuk mencatatkan 171.6 juta pelawat berbanding 66.0 juta pelawat tahun sebelumnya. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Prestasi pelancongan domestik di Malaysia mengalami pemulihan yang luar biasa pada 2022 dengan jumlah perbelanjaan RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada 2021, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Laporan DOSM itu berdasarkan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2022.
DOSM dalam kenyataan berkata jumlah pelawat domestik melonjak 160.1 peratus untuk mencatatkan 171.6 juta pelawat berbanding 66.0 juta pelawat tahun sebelumnya.
"Setelah hampir dua tahun bergelut dengan COVID-19, kini rakyat Malaysia dapat menarik nafas lega apabila pelancongan domestik kembali rancak dan menunjukkan tanda pemulihan ekonomi," menurut kenyataan itu.
DTS 2022 membentangkan statistik tahunan 2022 berkaitan statistik ketibaan pelawat, perbelanjaan pelancongan, corak perjalanan dan profil sosial serta demografi pelawat domestik.
Bagi ketibaan pelawat domestik mengikut negeri pula, Selangor muncul negeri paling ramai dikunjungi pada tahun 2022 menerima seramai 22 juta, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 16.9 juta dan 15.5 juta pelawat domestik.
Sementara itu, jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke negeri Pahang meningkat sebanyak 511.8 peratus, merekodkan 7.8 juta berbanding tahun sebelumnya, 1.3 juta pelancong.
-- BERNAMA
#pelancongan domestik #DoSM #perbelanjaan pelancong #2022
;