Perbanyakkan program untuk belia, mampu bantu banteras kahwin bawah umur
Ridauddin Daud
Disember 2, 2021 12:04 MYT
Disember 2, 2021 12:04 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, penyediaan lebih banyak program bermanfaat buat belia mampu mengelakkan mereka daripada kahwin awal termasuk kahwin bawah umur.
Bercakap di Dewan Rakyat pada Khamis, beliau berkata, program-program sebegitu diharap dapat membuka peluang dari segi pendidikan dan kemahiran buat belia.
Tambahnya, ia sekali gus memberi peluang untuk mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik dan mengelak mereka daripada memilih untuk berkahwin pada usia sangat muda.
“Ini perkara yang perlu kita kemaskan lagi, perbanyakkan lagi. Saya berpandangan bahawa program yang pihak KBS sendiri lakukan perlu diperkemaskan dan diperbanyakkan lagi dengan bantuan semua pemimpin masyarakat.
“Jika kita dapat bekerjasama dengan baik, InsyaAllah masalah yang kita sebutkan ini dapat dikurangkan.
“Soalan tadi berkenaan KPI (Petunjuk Prestasi Utama), saya mohon ampun maaf kerana saya sendiri tidak ada maklumat mengenai apakah KPI. Tapi saya sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang telah kita laksanakan,” katanya.
Tegasnya, bukan hanya KBS namun semua pihak perlu bekerja lebih keras agar isu perkahwinan bahawa umur dapat diselesaikan dengan lebih baik selepas ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Kasthuri Patto (PH - Batu Kawan) yang membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat pada Khamis.
Katanya lagi, KBS juga sangat menggalakkan remaja dan belia terlibat secara aktif dalam program-program anjuran KBS seperti Program Kem Anak Muda, Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM), Program Reben Kuning dan program lain.
“Dengan melibatkan diri dalam program-program berbentuk pemantapan jati diri dan pembinaan karakter serta membangun potensi diri, kami yakin ianya secara tidak langsung akan mengurangkan kecenderungan remaja atau belia untuk berkahwin awal.
“Is seterusnya dapat membantu membanteras perkahwinan bawah umur,” ujarnya.