Perbalahan keluarga antara punca harta pusaka RM70 bilion beku
Sinar Harian
Ogos 21, 2023 18:53 MYT
Ogos 21, 2023 18:53 MYT
SHAH ALAM : Perbalahan dalam kalangan ahli keluarga dan jumlah waris ramai antara punca harta pusaka berjumlah RM70 bilion di negara ini masih beku.
Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Norzaihan Mohd Zain berkata, punca lain menjadi penyumbang kepada harta pusaka beku seperti ketidakfahaman masyarakat mengenai kaedah dan prosedur pengurusan.
Justeru, katanya, amat penting umat Islam mengetahui kepentingan pengurusan harta berlandaskan syariah yang lebih sistematik.
"MAIS menyediakan perkhidmatan perancangan dan pewarisan harta seperti wasiat, hibah dan harta pusaka.
"Saya berharap kita dapat menggunakan platform MAIS dalam melaksanakan pengurusan harta bagi mengelakkan masalah berkaitan pertelagahan dan ketidakfahaman dan seterusnya mengharmonikan lagi sesebuah institusi kekeluargaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Harta Pusaka dan Majlis Perasmian Pelancaran Bulan Faraid Negeri Selangor 2023 Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Isnin.
Norzaihan memberitahu, negeri Selangor telah menjadi peneraju dalam memperkenalkan undang-undang berkaitan harta orang Islam misalnya Enakmen Wakaf Negeri Selangor 1999 yang telah dipinda pada tahun 2015 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain.
Jelas beliau, setakat ini, lebih 3,000 surat wasiat dan 2,500 dokumen hibah telah dikendalikan MAIS sejak 2006.
Tambahnya, MAIS juga telah mengendalikan lebih 1,500 fail harta pusaka yang terletak hak ke atas Baitulmal sejak tahun 1970 hingga kini.
"Angka ini menunjukkan MAIS komited dalam pengurusan harta umat Islam khususnya di negeri ini," kata beliau.
Dalam pada itu, katanya, MAIS akan mengadakan bulan faraid di negeri ini selama sebulan bermula 18 Ogos lalu.
"Program ini berlangsung sehingga 15 September depan dan diharapkan lebih ramai lagi masyarakat Islam cakna dan mempunyai ilmu dalam pengurusan harta," kata beliau. - Sinar Harian