Perbaiki sistem, tadbir urus negara atasi masalah pekerja - Anwar
Madiha Abdullah
Februari 11, 2023 14:40 MYT
Februari 11, 2023 14:40 MYT
KUALA LUMPUR: Isu kekurangan peluang pekerjaan terutama dalam kalangan anak muda terkait dengan sistem tadbir urus negara yang sudah rosak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpotensi untuk diangkat semula sebagai negara hebat di rantau ini namun tanggungjawab membersihkannya bukan sahaja terletak pada tokoh politik, malah melibatkan majikan dan entiti korporat.
Jelasnya, kelonggaran dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang bermula 27 Januari lalu terpaksa dilakukan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, selain turut disasarkan untuk membersihkan proses pendaftaran pekerja asing.
"Saya mahu perubahan ini berlaku sekarang. Pekerja asing yang tak ada permit, kita daftar mereka tanpa ejen dan tanpa kos tambahan.
"Mengapa orang gaji miskin datang bekerja kena bayar RM25,000, Bangladesh gaji RM2,000 tapi syarat kemasukan kena ada RM25,000?
"Mengapa kita tidak ada upaya mempertahankan hak pekerja, tempatan atau luar, tak ada upaya untuk halang penindasan ke atas mereka?
"Saya tahu keputusan itu (kelonggaran) dibantah golongan kaya tapi kita kena ambil keputusan. Tanpa proses yang lama dan kos tinggi, sekarang 200,000 pekerja berjaya didaftarkan tanpa bayar wang haram rasuah atau menindas pekerja," katanya ketika berucap merasmikan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dan Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.
Skim Keselamatan Sosial Suri rumah atau SKSSR yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2022 (Akta 838) menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik dan kelilatan kepada suri rumah sewaktu menjalankan urusan rumah tangga.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, transformasi perlindungan keselamatan sosial yang inklusif menerusi SKSSR amat signifikan kerana ia memberi pengiktirafan kepada peranan suri rumah dalam pembangunan institusi keluarga dan care economy yang selama ini kurang diberi perhatian.
"Semua suri rumah berusia bawah 55 tahun yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa yang berkahwin atau bujang, layak menyertai skim ini.
"Hanya dengan RM120 jumlah caruman untuk tempoh 12 yang dibayar secara in advance, suri rumah akan dilindungi skim yang menyediakan pelbagai faedah seperti hilang upaya kekal perubatan dan pemulihan keuzuran bantuan dialisis, pencen penakata dan pengurusan mayat," katanya dalam ucapan.
SKSSR dilaksanakan 1 Disember tahun lalu dan sehingga 31 Januari lalu, seramai 141,144 suri rumah sudah mencarum di bawah skim itu, yang memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan.
Beliau berkata, jumlah itu dilihat sebagai perkembangan positif dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama PERKESO menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 daripada kira-kira tiga juta suri rumah di negara ini mencarum dengan SKSSR tahun ini.