Perbahasan RUU Antiberita Tidak Benar ditangguh ke minggu hadapan

Hafiz Marzukhi
Mac 29, 2018 20:38 MYT
Azalina berkata beberapa negara turut menyedari bahawa isu penyebaran berita palsu merupakan ancaman global yang besar kepada dunia maklumat yang perlu ditangani secara efektif. - Gambar hiasan
Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 akan diteruskan pada sesi Dewan Rakyat pada minggu hadapan.
Ketetapan itu dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan supaya sesi Dewan Rakyat pada hari ini berakhir pada jam 5.30 petang dan ditangguhkan kepada jam 10 pagi pada Isnin.
Perbahasan bagi Rang Undang-Undang ini hangat di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak sering menganggu antara satu sama lain semasa ucapan masing-masing.
Difahamkan tidak kurang daripada 10 ahli Parlimen akan membahaskan Rang Undang-Undang ini pada minggu hadapan sebelum ia beralih ke peringkat undian.
Terdahulu, Azalina berkata, cadangan hukuman penjara yang dibuat di bawah RUU itu akan dipinda daripada 10 tahun kepada enam tahun.
Katanya, pindaan hukuman untuk kesalahan di bawah peruntukan Fasal 4 dan 5 RUU itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira pandangan beberapa pihak termasuk ahli Parlimen.
"Pindaan ini membuktikan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri amat prihatin dan bersedia menerima segala pandangan dan cadangan bagi menjadi RUU ini sebagai satu RUU yang inklusif dan komprehensif," katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua.
Selain itu, tambahnya, perkataan "knowingly" yang terkandung dalam Fasal 4 juga dicadang untuk digantikan dengan perkataan "maliciously".
"RUU ini tidak menyekat kebebasan bersuara rakyat sebaliknya bertindak untuk menyekat kebebasan penularan berita tidak benar.
"RUU ini memberikan mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara," katanya.
Azalina berkata di bawah Fasal 3, RUU itu dicadangkan terpakai kepada mana-mana individu tanpa mengira kerakyatan atau kewarganegaraan dan di mana tempat berkenaan kesalahan itu dilakukan termasuk di luar Malaysia.
"RUU yang dicadangkan hendaklah terpakai jika bagi kesalahan yang berkenaan berita tidak benar itu adalah mengenai Malaysia atau orang yang disentuh oleh pelakuan kesalahan itu ialah warganegara Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut, Azalina berkata beberapa negara turut menyedari bahawa isu penyebaran berita palsu merupakan ancaman global yang besar kepada dunia maklumat yang perlu ditangani secara efektif.
"Kerajaan Perancis telah mengumumkan undang-undang baharu akan diadakan untuk mengadakan prosedur lebih efektif bagi menghalang berita tidak benar. Filipina juga sedang mempertimbangkan untuk menggubal 'Anti-Fake News Bill'," katanya.
RUU ini telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Isnin.
#Azalina Othman Said #berita palsu #Dewan Rakyat #Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar
;