Perbaharui lesen penjualan vape tidak akan diluluskan di Terengganu
Bernama
November 20, 2024 16:32 MYT
November 20, 2024 16:32 MYT
KUALA TERENGGANU: Terengganu tidak mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape namun kerajaan negeri tidak akan meluluskan permohonan memperbaharui lesen penjualan barangan tersebut di premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah tersebut diambil bagi menjaga kepentingan rakyat terutama golongan muda.
"Kerajaan negeri telah adakan perbincangan dan kita dalam proses iaitu mana-mana yang belum perbaharui lesen, kita tidak akan sambung...di bawah PBT, kita berkuasa untuk tidak membenarkan premis digunakan untuk tempat penjualan (vape) sebab kita hendak jaga kemaslahatan (kepentingan) umum yang lebih besar, kita hendak jaga anak-anak muda dan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Okt lepas.
Dr Dzulkefly berkata kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape di peringkat nasional namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing, termasuk melarang penjualan vape melalui PBT.
-- BERNAMA