Perbaharui lesen motosikal melalui myEG mulai 9 Oktober ini - JPJ
Bernama
Oktober 1, 2020 21:22 MYT
Oktober 1, 2020 21:22 MYT
PUTRAJAYA: Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal mereka secara dalam talian melalui sistem myEG mulai 9 Oktober ini, demikian menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kenyataan JPJ hari ini menyebut bagi Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula, pembaharuan secara dalam talian akan dilaksanakan mulai 16 Oktober ini.
Bagaimanapun, pembaharuan secara dalam talian itu tidak termasuk Lesen Belajar Memandu (LDL) dan Lesen Memandu Percubaan (PDL).
"Pelaksanaan ini merupakan inisiatif kerajaan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan sedia ada kepada orang ramai selaras dengan amalan norma baharu yang praktikal," menurut kenyataan itu.
Ketika ini, perkhidmatan secara dalam talian melalui sistem myEG ialah bagi urusan pembaharuan LKM bagi kereta persendirian sahaja, kata JPJ.
Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, beberapa perkhidmatan JPJ terganggu disebabkan penutupan kaunter akibat pandemik COVID-19 yang berleluasa.
"Justeru melalui inisiatif ini, perkhidmatan JPJ akan menjadi lebih cekap dan mampan bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#JPJ
#kereta
#lesen
#perbaharui lesen
#Lesen Memandu Kompeten
#koronavirus
#pandemik
#perintah kawalan pergerakan
#rakyat